AKSI longlai di pusingan kelayakan Piala Thomas dan digugurkan dari dua kejohanan Eropah membuatkan pemain berusia 23 tahun dari Negeri Sembilan, Mohd Arif Latif lebih cekal mengharungi kehidupan sebagai atlet badminton.
Arif ketika dihubungi pasrah dengan pelbagai peristiwa yang menimpanya dan ingin menggunakan nasihat jurulatihnya, Hendrawan dan ahli panel Kumpulan Prestasi Tinggi (HPT), Datuk James Selvaraj supaya melupakan apa yang berlaku dan memandang jauh ke depan, sebagai azimat baru untuk terus berjuang dalam arena badminton.
“Saya akur dengan nasihat jurulatih dan teguran James yang mahu saya melihat perkara ini dari aspek positif untuk menjadikannya sebagai faktor yang boleh mendesak saya mencapai kejayaan,” kata Arif.
“Apa yang berlaku adalah pengalaman pertama saya, itulah sebabnya saya memberi reaksi sedemikian. Namun saya harap ia tidak berulang dan tidak mahu menempuhnya lagi.“Saya sudah serik bergaduh, bertekak, biarlah sedikit semangat yang ada ini dicurahkan kepada sukan kegemaran saya, badminton.
“Saya berjanji akan memberi aksi terbaik di Terbuka Australia bulan depan dan tidak mahu kecewakan pihak yang menyokong saya.” Selepas digugurkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) dari Siri Super Premier Seluruh England dan GP Emas Terbuka Switzerland, Arif kini bergantung kepada prestasi yang dipamernya di GP Emas Terbuka Australia pada 3 hingga 8 April ini.
“Saya berjanji akan beri aksi terbaik di Australia. Sasaran di sana, sekurang-kurangnya mengejutkan beberapa pemain yang berada di ranking lebih tinggi,” kata Arif yang gigih menjalani latihan di bawah Hendrawan.
No comments:
Post a Comment