Pages

Wednesday 7 March 2012

DarEn, ChOnG Wei MarA Ke PusInGAn PerTAmA UndIAn,Hafiz OuT - All EngLanD 2012

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara Liew Daren dan Chong Wei Feng berjaya menempah slot dalam undian utama kejohanan badminton All England, namun Muhammad Hafiz Hashim tersungkur di pusingan kedua peringkat kelayakan kejohanan itu yang berlangsung di Birmingham, United kingdom awal pagi ini.

Daren cemerlang menewaskan perseorangan Taiwan, Hsueh Hsuan Yi dengan 21-19, 19-21, 21-19 manakala Chong menundukkan pemain India, R.M.V Gurusaidutt 21-16, 20-22 dan 21-8. Sementara itu, bekas juara All England, Muhammad Hafiz terpaksa akur kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chien, 21-11, 15-21 dan 12-21.

Daren yang berkedudukan ke-43 dunia, dijadualkan bertemu perseorangan Thailand, Boonsak Ponsana pada pusingan pertama undian utama yang akan berlangsung malam ini, manakala Chong pula akan bertemu dengan pemain Sepanyol, Pablo Abian. Beregu lelaki negara, Goh V Shem/Teo Kok Siang turut tersenarai dalam undian utama kejohanan selepas mengalahkan rakan sepasukan Gan Teik Chai/Tan Bin Shen 19-21, 21-13 dan 22-20, namun bakal menghadapi laluan sukar apabila perlu bertemu beregu nombor dua dunia, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae pada pusingan pertama kejohanan malam nanti.

Gandingan Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Tazari turut cemerlang selepas menundukkan beregu Denmark, Rasmus Bonde/Anders Kristiansen, 21-15 dan 21-17 dalam masa 36 minit. Mereka dijadualkan bertemu dengan beregu nombor 24 dunia dari Jerman, Micheal Fuchs/Oliver Roth pada pusingan pertama kejohanan tersebut hari ini.

Turut tersenarai dalam undian utama kejohanan dua beregu wanita negara, Goh Liu Ying/Lim Yin Loo dan Ng Hui Ern/Ng Hui Lin. Goh/Lim menundukkan beregu dari Amerika Syarikat Iris Wang/Rena Wang dengan 21-16 dan 21-16 dalam masa 31 minit, manakala pasangan adik beradik Hui Ern/ Hui Lin menewaskan lawan dari Kanada, Nicole Grether/Charmaine Reid, 21-18, 22-20 dalam masa 39 minit.

Goh/Lim bakal berdepan dengan beregu nombor tujuh dunia dari Denmark, Christina Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, manakala pasangan adik beradik Ng akan bertemu dengan lawan dari Jepun iaitu Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi pada pusingan pertama hari ini.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Ong Jiang Guo/Lim Yin Loo telah menempah slot senarai dalam undian utama kejohanan badminton All England lebih awal semalam apabila perlawanan melibatkan beregu campuran Singapura dan Korea Selatan tidak diadakan. Mereka akan bertemu dengan beregu campuran dari Indonesia, Ahmad Tontowi/Liliyana Natsir pada pusingan pertama kejohanan itu hari ini.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan memulakan misi kejuaraan All England untuk kali ketiga berturut-turut dengan menentang perseorangan China, Wang Zheming manakala beregu nombor enam dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong akan menentang pasangan dari Jepun Naoki Kawamae/Shoji Sato awal pagi esok(8/3/12 - waktu Malaysia).

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment