Pages

Thursday, 8 March 2012

DatUk JamEs CabaR ARiF

DATUK James Selvaraj mencabar Mohd Arif Latif supaya membuktikan tindakan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang dipengerusikan Ng Chin Chai menggugurkannya daripada menyertai dua kejohanan di Eropah sebagai satu kesilapan dengan menghasilkan keputusan cemerlang di Terbuka Australia, awal bulan depan(April).


James yang diminta mengulas mengenai tindakan Arif digugurkan daripada menyertai Seluruh England dan Terbuka Switzerland yang berlangsung sepanjang minggu ini hingga minggu depan berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu itu kerana tiada kaitan dengan Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) yang dianggotainya dan turut dipengerusikan Chin Chai.

“Keputusan menggugurkan Arif langsung tiada kaitan dengan HPT, tanyalah C&T, tanya BAM tapi bukan saya. Saya dan beberapa orang lagi dalam HPT ditugaskan hanya untuk merencana dan memantau program Road to London, bagi Sukan Olimpik London saja,” kata James.

Ketika ditanya mengenai pendapat peribadi beliau, James mengakui yang prestasi Arif lebih teruk berbanding Liew Daren pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau bulan lalu namun beliau tidak pula mengatakan prestasi Daren ketika itu membanggakan.

“Saya sudah nasihatkan Arif supaya bersabar dan membuktikan yang dia lebih baik setiap kali beraksi di pentas antarabangsa.“Ketika ini, apa juga kejohanan yang disenaraikan BAM untuk bertanding, dia perlu membuktikannya dengan keputusan cemerlang. Jika beraksi dengan baik, saya rasa BAM sendiri tiada alasan untuk menggugurkannya daripada mana-mana kejohanan.

“Saya rasa tanpa dua kejohanan di Eropah, Arif masih mampu buktikan kepada BAM agar dia terpilih dalam skuad Piala Thomas sebagai perseorangan ketiga tapi dia perlu buktikan menerusi pencapaian baik di kejohanan yang disertainya.” Hujung minggu lalu, Arif menyuarakan rasa tidak puas hati selepas digugurkan daripada Seluruh England dan Terbuka Switzerland atas alasan tidak beraksi cemerlang di pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau sedangkan Daren yang gagal menghadiahkan sebarang mata kepada skuad negara bebas daripada dikenakan hukuman.

BAM dikatakan tidak senang dengan luahan Arif itu dan mula rimas dengan spekulasi yang mengatakan pemain itu tidak ‘sebulu’ dengan jurulatih Rashid Sidek dan Tey Seu Bock serta perseorangan utama Datuk Lee Chong Wei.

Cerita Arif tidak ‘sebulu’ dengan Rashid, Seu Bock dan Chong Wei tidak sukar untuk diketahui kerana semua pemain dan jurulatih pernah menjadikan isu itu sebagai topik hangat di kalangan mereka, sebelum ini.

No comments:

Post a Comment