Pages
▼
Tuesday, 22 May 2012
2 mAtA PerTamA PenentU KemeNanGan
MALAYSIA perlu mengutip dua mata pertama menerusi acara perseorangan dan beregu bagi mencatatkan kemenangan ke atas Denmark pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China hari ini.
Sandaran bagi merealisasikan matlamat tersebut sudah pasti diletakkan di atas bahu jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang akan turun selaku perseorangan pertama dan gandingan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu pertama).
Chong Wei yang mengakui sendiri perkara tersebut berkata, pertemuan dengan Denmark sangat penting dalam misi skuad negara layak ke peringkat suku akhir selaku juara Kumpulan C.
"Tidak kira apa jua situasi sekalipun, perseorangan dan beregu pertama perlu mengutip mata awal buat skuad negara. Jika tidak, laluan kita pasti sukar untuk menewaskan Denmark.
"Jika kita dapat mengutip dua mata pertama itu, sudah pasti ia akan mencerahkan peluang untuk menewaskan Denmark dan sekali gus memberikan keyakinan kepada pemain lain untuk turut mencatat kemenangan," kata Chong Wei.
Malaysia dan Denmark berjaya mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas masing-masing berjaya mencatatkan kemenangan sulung ke atas Afrika Selatan.
Denmark menewaskan Afrika Selatan 5-0 kelmarin sebelum Malaysia turut mencatatkan kemenangan dengan keputusan yang sama semalam.
Justeru, pertemuan antara Malaysia dengan Denmark akan menjadi penentu pasukan mana yang lebih layak bergelar juara Kumpulan C.
Mengulas lanjut aksi menentang Denmark hari ini, Chong Wei menyuarakan keyakinan yang perseorangan kedua, Liew Daren dan Muhammad Hafiz Hashim (ketiga) mampu untuk menyumbangkan mata buat skuad negara.
"Saya percaya, Daren dan Hafiz juga boleh mengutip mata buat skuad negara esok (hari ini).
"Atas kertas, memang Jan O Jorgensen (perseorangan kedua Denmark) lebih baik jika dibandingkan dengan Daren. Namun, ia akan memberi kelebihan buat Daren kerana dia turun beraksi tanpa sebarang tekanan.
"Hafiz pula memiliki kedudukan ranking dunia yang lebih baik berbanding Hans-Kristian Vittinghus (perseorangan ketiga Denmark). Jadi, saya yakin dia mampu untuk menyumbangkan mata buat skuad negara," jelas Chong Wei.
Malaysia perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara untuk mengelak diundi berdepan China, Korea Selatan atau Jepun pada peringkat suku akhir yang mana ketiga-tiga pasukan tersebut dijangka mengungguli saingan kumpulan masing-masing.
Undian perlawanan suku akhir akan dibuat sejurus tamat saingan peringkat kumpulan hari ini.
No comments:
Post a Comment