Pages

Monday, 14 May 2012

Chong weI, DaReN DemAm

GOYAH ataupun skuad Piala Thomas negara langsung tidak bersedia menghadapi cabaran di Wuhan, China bermula 20 Mei ini dan semuanya kelihatan ketika skuad itu berangkat ke negara Tembok Besar itu.

Belumpun aksi bermula, jangankan hasrat membentuk semangat sepasukan, sebaliknya skuad yang sepatutnya bergerak

dalam satu pasukan ke China awal pagi semalam, gagal disatukan.


Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak dapat menyertai pasukan kerana perlu bertemu doktor hari ini kerana demam selesema yang menyebabkannya hilang suara.


“Chong Wei tidak dapat menyertai kami hari ini kerana demam dan perlu berjumpa doktor. Dia hanya akan bertolak ke China, Rabu ini bersama Tey Seu Bock (jurulatih),” kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.


Selain itu, demam selesema sudah menjangkiti perseorangan kedua negara, Liew Daren yang disahkan Rashid.


Skuad negara yang berada dalam kumpulan dengan Denmark dan Afrika Selatan juga bakal berdepan isu sama kerana Koo Kien Keat sudah mula menunjukkan tanda-tanda akan demam ketika kejohanan berbaki seminggu saja lagi.



Begitupun isu demam itu mungkin mampu diatasi dalam tempoh seminggu namun kerisauan mungkin lebih kepada perseorangan ketiga, Muhd Hafiz Hashim yang mengadu kembali berasa sakit pergelangan kaki kanan, akibat kecederaan yang dialami pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.


“Memang skuad kami dilanda masalah demam, mungkin kerana cuaca tidak menentu. Bagi saya masalah demam mungkin boleh kami atasi dalam tempoh seminggu ini tapi saya harap tiada pemain yang mengalami kecederaan,” kata Hafiz.



Selain itu, pengurus pasukan Piala Thomas, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah juga tidak dapat menyertai skuad negara pagi semalam.


Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai, beliau terpaksa membatalkan penerbangan semalam kerana berdepan masalah kecemasan membabitkan ahli keluarganya.


Ternyata sekali misi skuad negara kali ini bermula tanpa nada yang seirama, namun apakah mereka mampu menghadirkan cabaran mengejutkan seperti yang dilakukan di Macau ketika menewaskan Korea Selatan pada pusingan kelayakan, tiada siapa mampu menafikannya.

No comments:

Post a Comment