Pages

Sunday, 29 July 2012

BEREGU LELAKI LAKAR KEMENANGAN



Beregu harapan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bermula cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan D acara perseorangan badminton lelaki di Wembley Arena di sini semalam.
Pasangan Kien Keat-Boon Heong tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasangan Jepun, Naoki Kawame-Shoji Sato 21-16, 21-14.
Tidak mahu memandang mudah pada pasangan yang berada di ranking ke-13 dunia itu, Kien Keat-Boon Heong membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar untuk bermula garang.
Kien Keat-Boon Heong dijadualkan menentang Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat (AS) untuk aksi kedua peringkat kumpulan hari ini.
Beregu No. 8 dunia itu perlu memenangi perlawanan itu sekiranya mahu melakar kejayaan yang lebih baik, sekali gus mara ke pusingan seterusnya.
Mereka perlu memenangi dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan sekiranya mahu kekal beraksi di London.
Ini kerana pencabar ketiga Kien Keat-Boon Heong ialah pasangan No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan dan usaha yang lebih keras diperlukan sekiranya mereka mahu melakar kemenangan berturut-turut.
Bagaimanapun nasib berbeza bagi pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi dan pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tertewas pada perlawanan pertama.
Jing Yi tewas kepada pemain Korea Selatan, Bae Yeon Ju 21-16, 15-21, 12-21 dalam pertembungan Kumpulan B.
Jing Yi akan berdepan dengan pemain Itali, Agnese Allegrini bagi aksi kedua Kumpulan B esok.
Peng Soon-Liu Ying pula dikalahkan gandingan dari Taiwan, Chen Hung Ling-Chen Wen Hsing 12-21, 21-6, 12-21 bagi perlawanan Kumpulan D.
Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula akan menentang pemain Finland, Ville Lang bagi saingan pembukaan peringkat Kumpulan A esok.

No comments:

Post a Comment