Pages

Thursday 12 July 2012

Bukan Taraf Olimpik??


PENGURUSAN yang teruk dan kekurangan dana mungkin membawa malang kepada Asia Tenggara yang bakal melalui Sukan Olimpik yang mengecewakan, malah ada pakar membayangkan sukan di rantau itu akan rebah sebelum bermula.

Asia Tenggara yang menaungi 600 juta orang dari Myanmar ke Indonesia dengan ekonomi yang semakin meningkat serta mempunyai kumpulan penyokong sukan yang kuat, sepatutnya mempunyai daya penarik terhadap temasya sukan terbesar dunia.

Sebaliknya hanya beberapa pencabar gelaran akan ke London berikutan isu kemiskinan, kemudahan kurang sempurna, masalah dana serta fokus terhadap sukan bukan Olimpik menjadi penghalang kepada aliran atlet berbakat dari rantau ini.

Begitupun masih ada sinar apabila Malaysia memiliki pemain badminton nombor dua dunia, Lee Chong Wei manakala Indonesia juga turut berazam mempertahankan pingat emas untuk pemain badmintonnya yang tidak pernah terlepas daripada genggaman sejak Olimpik 1992.

Thailand pula mempunyai jaguh angkat berat manakala Filipina yang mempunyai peninju berbakat tetapi hanya mengejar kekayaan sebagai atlet profesional, bergantung harap kepada atlet menembak mereka manakala Singapura akan menghantar perenang mereka dan pemenang pingat perak acara ping pong pada edisi 2008, Feng Tianwei.

Begitupun di kalangan 11 negara yang bertanding dalam Sukan Sea tidak mempunyai sasaran realistik dalam acara trek dan padang.

Statistik itu mengecewakan apabila negara dari Asia Tenggara hanya membawa sedozen pingat di Beijing empat tahun lalu.

Ia sesuatu yang tidak setimpal jika dibandingkan dengan saiz rantau itu, apatah lagi apabila dibandingkan dengan 13 pingat yang berjaya dibawa pulang
sebuah negara kecil seperti Kazakhstan.

“Kami berdepan risiko sukan di rantau ini semakin merosot,” kata penasihat Majlis Olimpik Asia, Santiparb Tejavanija.

“Jika kami tidak mampu melahirkan atlet muda terbaik, kami tidak boleh
bersaing untuk jangka panjang. Setiap tahun, satu kumpulan atlet berpotensi hilang.”

Punca di sebalik kegagalan mencari bakat baru itu terlalu banyak tetapi di kalangan pakar berkata ia berkait rapat dengan kesilapan pengurusan dan rasuah yang digambarkan oleh kes rasuah yang membabitkan projek pembinaan Sukan Sea Indonesia tahun lalu.

Jelas Santiparb, kekurangan pelaburan menyebabkan kurangnya kemudahan sukan, pembiayaan atlet dan kejurulatihan di tahap terbaik menyukarkan mereka untuk melahirkan atlet terbaik.

Wujud pertikaian betapa saiz fizikal atlet bintang Asia Tenggara yang kecil tidak memberi kelebihan dalam banyak acara seperti acara pecut.

Begitupun, gambaran menyeluruhnya menurut Greg Wilson, seorang Australia yang menjadi penasihat Jawatankuasa Olimpik Indonesia (KOI), kurangnya keazaman oleh badan sukan yang tidak diurus dengan baik bermakna, setiap dana akan menuju kepada kejohanan peringkat serantau dan bukannya global.

“Sukan Olimpik tidak mendapat perhatian ramai atlet biarpun enam bulan sebelum ke Sukan Olimpik London,” katanya yang menjelaskan wang insentif hanya ditawarkan kepada atlet Indonesia untuk persiapan ke Sukan Sea dan kejohanan domestik.

“Mereka tidak fikir mampu layak ke Olimpik, jadi tumpuan mereka hanya di dalam negara.”

Menurut Wilson, pemenang pingat emas menerima AS$22,000 (RM69,938) atas kejayaan mereka di Sukan Sea berbanding memberi insentif kepada mereka yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik.

Yang lain menyalahkan sukan tradisi yang tidak begitu dikenali di luar rantau ini seperti pencak silat dan sepak takraw.

Pada masa sama wujud kekurangan infrastruktur sukan yang terkini seperti yang dimiliki negara miskin tetapi mempunyai sejarah dalam sukan yang hebat seperti bekas negara jajahan Soviet serta negara seperti Jamaica dan Kenya.

Bagaimanapun bukan semuanya kelihatan teruk di rantau ini.

Kejayaan Indonesia dalam badminton dan Thailand dalam angkat berat mampu memberi inspirasi kepada atlet muda dan meningkatkan lebih banyak dana, sekali gus mempercepatkan proses persediaan kumpulan atlet pelapis.

No comments:

Post a Comment