Pages

Tuesday 24 July 2012

LALUAN GETIR PEMAIN BADMINTON DI OLIMPIK 2012


HARAPAN utama untuk meraih pingat emas pertama negara di Olimpik London, Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan berliku apabila dijangka berdepan salah seorang jaguh China, Chen Long pada separuh akhir selepas undian dilakukan semalam.

Seandainya berjaya melepasi pemain terbabit, musuh tradisi Chong Wei yang juga seteru utama yang menewaskannya di final Olimpik Beijing empat tahun lalu, Lin Dan dijangka menanti bagi membuat perhitungan sekali lagi.

“Saya gembira dengan undian ini kerana setiap lawan sentiasa sukar. Matlamat saya adalah fokus terhadap satu lawan pada satu masa. Rekod lalu tidak memberikan sebarang makna di pentas Olimpik dengan setiap pemain layak secara merit dan perlu diberikan penghormatan atas sebab itu,” kata pemain harapan negara itu yang bertolak awal bagi menjalani latihan di Bath dan bersama rakan sepasukan lain.

Katanya, dia akan tetap memberikan segala yang termampu pada setiap pusingan, apatah lagi dengan status selaku pilihan utama.

Chong Wei yang diundi dalam Kumpulan A dijangka tidak berdepan masalah apabila dijadualkan bertemu pemain seperti Simon Santoso, Kenichi Tago dan Nguyen Tien Minh pada peringkat awal manakala Lin Dan berdepan lawan seperti Taufik Hidayat, Lee Hyun Il dan Sho Sasaki. Chong Wei mempunyai rekod kemenangan 6-4 ke atas Chen Long dengan pertemuan terakhir di Terbuka Malaysia pada awal tahun ini, namun kemenangan pemain negara itu sentiasa berlarutan sehingga pertarungan tiga set.

Sementara itu, peluang beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sukar apabila diundi Kumpulan D bersama-sama pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Chung Jae Sung/Lee Yong Dae. Mereka turut perlu mengatasi cabaran pasangan Howard Bach/Tong Gunawan serta Naoki Kawamae/Shoji Sato dengan dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir.

Pasangan China, Cai Yun/Fu Haifeng yang menjadi pilihan utama mengetuai Kumpulan A menjadi antara calon utama meraih pingat emas di London acara beregu lelaki.

Dalam saingan beregu campuran, pasangan negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua kejohanan dari China, Xu Chen-Ma Jin, S Prapakamol-S Thoungthongkam (Thailand) dan Chen Hung Ling-Cheng Wan Hsing (Taiwan).

Cabaran perseorangan wanita negara pula digalas Tee Jing Yi yang perlu bersaing menentang pilihan ke-11 kejohanan, Bae Yeon Ju dan Agnese Allegrini dalam Kumpulan B dengan tempat teratas melangkah ke peringkat seterusnya.

No comments:

Post a Comment