Pages

Friday, 27 July 2012


MALAYSIA akan mengambil bahagian dalam sembilan sukan di Olimpik London yang membuka tirai hari ini. Sejak mengambil bahagian di Melbourne 1956, Malaysia masih gagal memenangi pingat emas. Kita ikuti pandangan chef de mission Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengenai hasratnya untuk kontinjen negara kali ini.

SOALAN:Apa pandangan Tun mengenai peluang kita untuk meraih pingat emas pertama menerusi temasya kali ini.
TUN: Ya…kita sudah mencuba untuk mendapatkan pingat emas sejak sekian lama dan sudah pasti kita mahu mencatat sejarah menerusi temasya kali ini.

Tapi, ia bukan mudah kerana di Olimpik ini, semua orang sudah bersedia. Jadi, saya mengharapkan 28 juta rakyat Malaysia akan berdoa untuk atlet kita agar impian meraih emas itu menjadi kenyataan. Doa mereka itu amat penting bagi menyemarakkan semangat atlet.

Bagi saya, London menyediakan peluang terbaik merealisasikan impian emas itu kerana kita mempunyai beberapa atlet bertaraf dunia yang layak beraksi atas merit walaupun dalam beberapa acara kita mempunyai penyertaan wild-card.

SOALAN: Adakah Tun jangka emas itu akan hadir daripada badminton?
TUN: Saya sebenarnya tidak kisah emas daripada sukan mana asalkan kita dapat pingat itu kali ini. Tapi, badminton sejak diperkenalkan di Barcelona 1992 tidak pernah menghampakan, sentiasa menjadi acara tradisi yang boleh kita sandarkan untuk memberikan pingat. Cuma saya harap kita akan dapat lebih baik daripada perak empat tahun lalu.

SOALAN: Adakah ganjaran sampai RM4 juta, dalam kes ini, badminton akan menyuntik semangat atlet? TUN: Saya tidak harap mereka akan memburu kejayaan untuk ganjaran semata-mata. Itu soal kedua. Saya percaya mereka meletakkan maruah negara terlebih dulu walaupun dijanjikan dengan pelbagai ganjaran lumayan, termasuk daripada kerajaan. Selepas melihat persiapan di Malaysia dan di sini, saya percaya mereka akan memberikan segala-galanya untuk negara.
Saya juga tidak mahu mereka mengutamakan ganjaran itu kerana ia akan hadir dengan sendirinya jika mereka memberikan keputusan yang diharapkan.

SOALAN: Jadi, adakah atlet kita sudah bersedia?
TUN: Saya dapat melihat semuanya berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan cabaran.
Semua persiapan berjalan dengan begitu rancak, tiada kecederaan dilaporkan dan saya baru berbincang dengan Dr Ramlan Abdul Aziz dan tiada yang terganggu.

SOALAN: Justeru, apa nasihat Tun terhadap atlet negara?
TUN: Nasihat saya sentiasa berikan yang terbaik kerana mereka membawa nama negara. Soal kemasyhuran, ganjaran, anugerah atau mencipta sejarah itu soal kedua. Yang penting, tunjukkan keputusan terlebih dulu.

Kita juga mempunyai Nur Suryani Mohd Taibi yang bukan saja penembak wanita pertama layak ke Olimpik, malah mengandung lapan bulan nanti? Saya hanya berdoa dia tidak terjejas dan tertekan dengan segala tumpuan media terhadapnya. Saya kerap ditanya media asing mengenai Suryani, saya tahu ia tidak mudah, tapi saya harap dia akan terus memberikan yang terbaik. Saya juga berharap kehadiran suaminya (Marhazli Mohtar) akan memberikannya kekuatan untuk bertanding.

No comments:

Post a Comment