Pages
▼
Saturday, 25 August 2012
BAM PERLU BETULKAN POLISI SENDIRI
Polisi buka pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang longgar menyebabkan ramai bekas-bekas pemain mereka bebas menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, biarpun sudah bergelar profesional, kata bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim.
Kenyataan Hafiz itu menjawab teguran bendahari BAM, Datuk Lim Teong Kiat, yang sebelum ini melahirkan kebimbangannya mengenai trend pemain-pemain bebas yang berleluasa menikmati kemudahan latihan skuad kebangsaan biarpun sudah meninggalkan badan badminton itu.
Menurut Teong Kiat, mereka yang telah meninggalkan skuad kebangsaan untuk menjadi profesional sepatutnya dilarang daripada terus berbuat demikian.
Saya akan akur jika BAM tiba-tiba melarang kami daripada terus menyertai latihan mereka.
Kalau benar BAM merasakan ia telah disalahguna, maka itu adalah masalah yang diakibatkan daripada kelonggaran polisi mereka sendiri.
Sebagai pemain bebas, sudah tentu kami selesa untuk berlatih di Bukit Kiara (Stadium Juara, tempat latihan BAM) kerana kemudahan semuanya lengkap," kata Hafiz yang meninggalkan BAM awal tahun lalu dan kini bernaung di bawah kelab KLRC.
Kata Hafiz lagi, daripada pengamatannya, sebahagian pemain yang meninggalkan BAM sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya turut kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Memang ramai saya lihat berlatih di Bukit Kiara. Caranya mudah, cuma tulis surat. Pokoknya, memang mudah untuk keluar masuk. Macam saya sendiri, adakalanya saya dipelawa datang, hubungan saya dengan jurulatih seperti Rashid (Sidek) dan Hendrawan pun masih baik.
Saya fikir kehadiran saya membantu pemain-pemain muda mereka, ia juga membantu saya untuk mendapat sparring (rakan sepelatih) berkualiti. Ia adalah situasi menang-menang.
Tetapi kalau BAM ingin menghentikan polisi ini, saya akur, tiada masalah tetapi mereka harus menutup pintu kepada sesiapa sahaja yang tidak lagi bersama BAM, kena adil," ujarnya.
Sementara itu, legenda badminton negara yang juga jurulatih KLRC, Razif Sidek bersetuju dengan pandangan Teong Kiat.
Saya setuju dengan pandangan Datuk Lim (Teong Kiat). Kalau sudah keluar, keluarlah. Sebagai profesional, mereka harus bijak mengurus dan mengembangkan lagi karier sendiri.
Pemain harus tahu apa akibatnya jika menjejak kaki ke alam profesional kerana ia bermakna semua bergantung pada diri sendiri.
Saya tahu ada segelintir pemain, khususnya budak-budak kesayangan BAM, selepas keluar persatuan kembali menyertai latihan dan tidak lama kemudian menjadi sparring dan ada yang dibayar upah," kata Razif.
Bagaimanapun menurut Razif yang kini melatih bekas pasangan negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari, latihan bersama antara BAM dan kelab-kelab profesional bukan sesuatu yang negatif, malah ia wajar diadakan sekali sekala kerana kedua-dua pihak membawa kebaikan kepada pemain masing-masing.
Bagi saya, kalau sesekali memang OK tetapi bukan kerap sampai tiap-tiap hari. Semuanya terpulang pada BAM, kalau mereka rasa tiada faedah, maka janganlah libatkan pemain luar langsung.
BAM sendiri ada cukup ramai pemain pelapis untuk menjadi sparring, sebenarnya tidak perlu pun pemain luar untuk memainkan peranan itu dan kena pula bayar," jelas Razif, yang merupakan tonggak Malaysia ketika muncul juara Piala Thomas 1992.
No comments:
Post a Comment