Pages
▼
Wednesday, 29 August 2012
BEREGU CAMPURAN KIAN MATANG
JEREMY Gan yakin rancangannya membentuk gandingan beregu campuran bertaraf dunia kini berada di landasan tepat selepas gandingan muda Tan Aik Quan-Lai Pei Jing muncul naib juara Terbuka Vietnam Ahad lalu, malah beliau kini dalam proses mengangkat satu lagi gandingan baru iaitu Wong Fai Yin-Shevon Lai.
Jurulatih beregu campuran itu berkata beliau berharap Aik Quan-Pei Jing cepat menemui kematangan dalam permainan bagi memberi tekanan kepada gandingan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, sekali gus menyaksikan persaingan sihat dalam kem negara.
“Perkembangan ini memang bagus tapi terlalu banyak lagi yang perlu diperbaiki Aik Qua-Pei Jing. Buat masa ini saya nampak mereka akan menjadi gandingan kedua di belakang Peng Soon-Liu Ying tapi belum cukup ilmu untuk bergelar gandingan bertaraf dunia,” kata Jeremy.
Pada aksi final kelmarin, gandingan itu tewas kepada pasangan Indonesia, Markis Kido-Pia Zebadiah Bernadeth buat kali pertama dalam dua pertemuan.
“Saya tidak mengikut mereka ke Vietnam, tapi saya tahu mereka kurang pengalaman beraksi di tahap tertinggi seperti perlawanan akhir. Sebelum ini mereka pernah menewaskan gandingan Indonesia itu di Terbuka Malaysia, jadi banyak lagi yang perlu mereka pelajari terutamanya dalam aspek ketahanan mental.
“Mereka akan sertai empat hingga lima lagi kejohanan dalam tahun ini, tapi tidak semuanya setaraf dengan Peng Soon-Liu Ying. Mereka masih baru jadi mereka perlu menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf GP Emas dan cuba mendapatkan keputusan terbaik seperti separuh akhir, final ataupun meraih gelaran.
“Jika mereka terus beraksi di kejohanan Siri Super, semangat mereka mungkin berkubur kerana sering tewas di peringkat awal kerana ramai gandingan terbaik dunia mengambil bahagian.” Antara kejohanan yang akan disertai Aik Quan-Pei Jing selepas ini adalah Siri Super Terbuka Jepun, GP Emas Terbuka Taiwan, Korea, Macau dan beberapa lagi kejohanan lain.
Jeremy turut berpuas hati dengan pencapaian gandingan senior Ong Jien Guo-Lim Yin Loo yang mara ke separuh akhir di Vietnam.
“Gandingan ini bukan baru, jadi prestasi di Vietnam menunjukkan sedikit peningkatan namun saya tidak boleh letakkan mereka dalam perancangan jangka panjang kerana masing-masing sudah berusia 23 dan 24 tahun. Mereka sepatutnya melakar kejayaan lebih besar,” kata Jeremy lagi.
Dalam pada itu, Jeremy perlu bekerja keras menaikkan satu gandingan baru Fai Yin-Shevon. Shevon sebaya Pei Jing dinaikkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sememangnya diakui berkemampuan sekiranya digilap dengan baik, namun Fai Yin memerlukan lebih banyak latihan selepas di bawa ke BAM dari Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment