Pages

Tuesday, 14 August 2012

JANGAN PERTIKAI HABUAN DATO' LCW


TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim (gambar) meminta semua pihak supaya tidak mempertikai pemberian ganjaran sebanyak RM500,000 kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata, ganjaran yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Chong Wei kelmarin, adalah wajar kerana pemain No. 2 dunia itu telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London.

"Pada saya, sumbangan itu adalah sejajar dengan pengorbanan Chong Wei yang berhempas pulas mencatat rekod sebagai atlet pertama negara untuk memenangi pingat emas pada temasya itu," kata Razali di Muar semalam.

Mengenai masa depan Chong Wei, Razali berkata, semua pihak harus memberi peluang jika pemain utama negara itu masih cergas untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Jika mutu permainannya menurun dalam setahun dua ini, dan pemain muda pula menunjukkan kebolehan luar biasa dalam tempoh itu, kemungkinan sandaran negara dialihkan kepada pemain muda," katanya.

Ditanya persiapan atlet Malaysia menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014, Razali berkata, kementerian dan persatuan-persatuan sukan di negara ini tidak pernah berehat daripada meneruskan persediaan menghadapi temasya sukan seumpama itu.

No comments:

Post a Comment