Pages

Tuesday, 7 August 2012

"JANGAN PISAHKAN KAMI"...



KOO Kien Keat percaya gandingannya bersama Tan Boon Heong akan tetap dikekalkan biarpun wujud ura-ura mereka akan dipisahkan selepas temasya Olimpik London ini.

Bagi pemain beregu itu, mereka berdua tidak mempunyai masalah besar untuk mendorong kepada keputusan memisahkan gandingan itu dan dipadankan dengan pemain lain.

“Saya tidak nampak mengapa kami harus dipisahkan kerana kami tidak mempunyai masalah besar. Jika ada perkara yang menjejaskan gandingan kami, ia lebih kepada kegagalan kami berkomunikasi di gelanggang yang pada saya itu masalah remeh dan mudah diselesaikan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak nampak pemain lain selain daripada Boon Heong yang boleh bergandingan dengannya kerana mereka sudah serasi bersama sejak mencipta kejayaan ketika di bawah bimbingan Rexy Maniaky.

Kien Keat dan Boon Heong gagal meraih pingat gangsa selepas mereka kecundang kepada pasangan Korea, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae, kelmarin.

Bagaimanapun, pencapaian tempat keempat itu dianggap membanggakan kerana mereka mara setakat suku akhir di Beijing 2008. Dalam pada itu, Kien Keat juga menepis dakwaan yang dia akan bersara selepas temasya di London 2012 ini.

“Tidak pernah terlintas di fikiran yang saya akan bersara. “Saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh tersebar kerana saya tidak pernah berkata akan mengundur diri. Saya masih boleh bermain untuk beberapa tahun lagi,” katanya. Malah, Boon Heong turut gembira untuk meneruskan gandingannya bersama Kien Keat. “Saya rasa kami masih boleh menggugat bersama,” katanya ringkas.

Sementara itu, jurulatih beregu, Tan Kim Her berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbicara mengenai memisahkan gandingan utama negara itu.

“Saya mempunyai perancangan empat tahun sebelum Olimpik akan datang dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat apabila tiba masanya. Buat masa ini mereka kekal sebagai gandingan,” katanya.

No comments:

Post a Comment