Pages
▼
Thursday, 23 August 2012
JURULATIH ENGGAN CERITA STATUS BEREGU UTAMA LELAKI
Baik ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her mahupun jurulatih Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Pang Cheh Chang, enggan mengulas ketika soal masa depan pasangan utama negara itu ditimbulkan.
Seandainya, gandingan tersebut masih berada dalam perancangan, sudah tentu tidak sukar kedua-dua jurulatih tersebut untuk berbicara soal rancangan mereka.
Cheh Chang ketika ditanya apakah Kien Keat dan Boon Heong akan dikekalkan selepas kegagalan meraih pingat di Sukan Olimpik, sebaliknya hanya membalas: "Saya fikir sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengulas pasal Koo dan Tan.
"Maaf sangat-sangat, harap anda boleh faham situasi ini."
Kim Her pula tampak lebih diplomasi dengan memberi reaksi secara umum, termasuk persoalan benarkah pasangan itu mahu meninggalkan skuad kebangsaan.
"Saya mempunyai rancangan empat tahun (untuk Kien Keat-Boon Heong), satu jangka pendek 2014 dan satu lagi jangka panjang sehingga 2016," jawabnya ringkas.
Ketika ditanya semula apakah perancangan itu bermakna pasangan juara All England 2007 itu akan terus dikekalkan, dia menambah: "Kita tunggu dan lihat."
Mula digandingkan bekas jurulatih beregu, Rexy Mainaky pada penghujung 2006, Kien Keat-Boon Heong melakar kejutan dalam penampilan sulung mereka pada Sukan Asia 2006 apabila membawa pulang pingat emas di Doha.
Kejayaan tersebut kemudian disusuli dengan tujuh lagi kejuaraan, termasuk All-England pada tahun berikutnya.
Pada masa itu, aksi mereka berdua sentiasa menjadi tumpuan kerana dikagumi dengan corak permainan yang pantas dan menghiburkan.
Namun kecemerlangan Kien Keat-Boon Heong itu hanya bersifat sementara kerana selepas tahun gemilang itu, mereka mula menjadi sasaran kritikan ekoran prestasi tidak menentu walaupun pada 2010.
Mereka seolah-olah mendapat semula rentak dengan pencapaian pingat perak Sukan Asia Guangzhou dan Kejohanan Dunia di Paris, tetapi sekali lagi ia hanya bersifat sementara.
Dalam usaha memperbaiki karier, Kien Keat-Boon Heong akhirnya mengambil langkah drastik membuat permintaan agar Rexy ditukar dan dibimbing Cheh Chang.
Perubahan tersebut bagaimanapun tidak langsung membawa sebarang perubahan positif kepada persembahan mereka yang sebaliknya terus hambar.
Bekas pasangan No. 1 dunia itu seringkali terkandas pada pusingan awal dalam kebanyakan kejohanan yang disertai.
Di Olimpik, mereka bertandang ke London tanpa diletakkan sebarang harapan namun kejayaan mara ke separuh akhir disangka mampu menjelmakan keajaiban.
Begitupun, ia hanyalah harapan palsu apabila mereka kecundang mudah kepada juara dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng.
Dalam penentuan pingat gangsa pula, pasangan ini akur kepada beregu utama Korea, Chung Jae-sung-Lee Young-dae, walaupun satu ketika di ambang melengkapkan kemenangan set pertama.
No comments:
Post a Comment