Pages

Monday, 6 August 2012

MALAYSIA TERPAKSA MENUNGGU LAGI UNTUK EMAS OLIMPIK...




WEMBLEY Arena masih lagi menghadirkan igauan buruk buat Lee Chong Wei yang terpaksa mengakui hakikat dia tetap kedua terbaik kepada Lin Dan.

Selepas tewas di Kejohanan Dunia tahun lalu di gelanggang sama, kekalahan 21-15, 10-21, 19-21 di final perseorangan lelaki Olimpik itu bagaikan ulangan skrip buat Chong Wei apabila tewas buat kali kedua berturut-turut selepas Beijing empat tahun lalu.

Kekalahan itu juga bermakna Chong Wei tidak berpeluang menebusnya kerana dia dan Lin Dan menjadikan London sebagai Olimpik terakhir mereka.

Lebih malang, turut sama terkubur adalah impian jutaan rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan sejarah tercipta.

“Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mereka emas. Saya tahu ramai yang kecewa tapi saya sudah cuba sebaik mungkin. Saya tidak kesal dengan kekalahan ini, mungkin memang ditakdirkan saya hanya boleh menang perak kerana Lin Dan memang terlalu handal.

“Dalam dunia ini hanya satu Lin Dan dan Lin Dan itulah yang mengalahkan saya. Tapi saya gembira kerana Lin Dan membuatkan saya bekerja keras untuk sampai ke peringkat ini dan saya percaya dia juga gembira kerana saya membuatkannya bekerja keras untuk emas,” katanya.

Chong Wei yang turun untuk mengejutkan Lin Dan menampilkan corak permainan meyakinkan pada set pertama apabila mendahului 11-8 pada pertengahan permainan sebelum menamatkannya dengan 21-15.

Set kedua jelas menjadi milik Lin Dan apabila Chong Wei yang ketinggalan jauh 8-15 pada suatu ketika bagaikan membiarkan pemain China itu menang mudah bagi membolehkannya menumpukan tenaga terhadap set ketiga.

Set penentuan itu berlangsung sengit apabila mereka saling terikat mata hingga kedudukan 18-18 dan 19-19 sebelum Lin Dan terlebih dulu mencapai mata 20 dan kemudiannya menang 21-19.

Lin Dan memuji persembahan Chong Wei apabila berkata pemain negara itu bermain dengan bijak sepanjang perlawanan untuk memberikan tekanan kepadanya.

“Saya tidak mengambil serius set pertama tapi selepas tewas saya meningkatkan persembahan di set kedua dan mencapai keputusan yang saya mahukan di set ketiga,” katanya yang berlari mengelilingi gelanggang sebaik menewaskan Chong Wei.

Kemenangan Lin Dan itu bermakna Malaysia masih lagi tercari-cari pingat emas yang gagal digenggam sejak temasya Melbourne 1956.


No comments:

Post a Comment