Pages
▼
Thursday, 23 August 2012
PERLU BUAT HOMEWORK
BANYAK lagi kerja perlu dilakukan jurulatih beregu campuran Jeremy Gan untuk menjadikan gandingan Chan Peng Soo-Goh Liu Ying sebagai pasangan digeruni di peringkat dunia.
Jurulatih itu berkata, saingan Olimpik London baru-baru ini menjadi medan terbaik untuk menilai tahap kematangan gandingan itu biarpun kini berada di ranking kelapan dunia.
“Mereka masih ketinggalan berbanding gandingan ternama dunia yang lain. Dalam setiap perlawanan, saya lihat mereka seperti tidak ada jawapan untuk memerangkap pemain lawan,” kata Jeremy.
Justeru, beliau kini merancang program lebih teliti terutamanya untuk membina corak permainan lebih mantap.
“Apa yang saya lihat, prestasi kedua-dua pemain masih boleh dipertingkatkan ke satu tahap lebih baik.
“Permainan mereka tidak konsisten. Dari segi kombinasi, mereka ada kerjasama yang baik namun dalam dunia badminton moden, kita tidak boleh lagi bergantung kepada seorang pemain yang kuat dalam gelanggang.
“Saya perlu pastikan mereka berada di tahap yang seimbang. Tidak boleh lagi pemain lelaki saja bagus mengawal gelanggang. Kekuatan yang ada pada kedua-dua pemain ini mesti dipertingkatkan.” Ketika ditanya ke mana hala tuju gandingan ini, beliau enggan menetapkan sasaran besar hingga ke Kejohanan Dunia tahun depan kerana baginya, lebih penting mempersiapkan gandingan ini menjadi pasangan lebih mantap.
“Saya rasa kita memang boleh tetapkan sasaran di Kejohanan Dunia kalau melatih mereka ke satu tahap lebih baik. Dengan beraksi di Olimpik sajapun, mereka sudah meraih pengalaman berharga, memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui apa yang perlu ada jika beraksi di peringkat lebih tinggi,” kata Jeremy lagi.
Peng Soon-Liu Ying yang akan beraksi di China Masters dan Terbuka Jepun, September ini memerlukan lebih banyak pengalaman untuk menjadi gandingan yang mampu mencabar kejuaraan Sukan Asia dan Komanwel dua tahun lagi.
Sementara itu, Jeremy tidak terlalu cemas untuk melahirkan seorang juara kerana menurut beliau, Malaysia tidak sampai tiga tahun serius dalam kategori beregu campuran jika hendak dibandingkan dengan China, Indonesia, Korea dan Eropah.
“Selepas ini saya tidak hanya tumpukan kepada gandingan ini sebaliknya dua lagi gandingan berpotensi. Jika ada gandingan yang sama kuat, barulah Peng Soon-Liu Ying tidak terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.” Dua gandingan yang dimaksudkan adalah Ong Jian Guo-Lim Yin Loo dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.
Jeremy pernah melahirkan juara remaja Asia Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei dan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin.
No comments:
Post a Comment