Pages

Thursday, 27 September 2012

Keputusan Adil



KEPUTUSAN mengekalkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dianggap adil selepas mendengar keluhan kedua-dua pemain itu sendiri, mendapatkan pandangan pihak pengurusan, jurulatih, awam serta pemain lain, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai.

Kenyataan Chin Chai itu adalah jawapan kepada keluhan rasa Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong tiga hari lalu, yang menyatakan Kien Keat-Boon Heong boleh bertahan sehingga Olimpik 2020 andai hanya ditetapkan sasaran mara ke final.

“Saya rasa keputusan itu adil selepas kami berbincang dengan pemain. Malah keputusan itu juga diputuskan barisan Exco yang memberi peluang kepada pasangan terbabit hingga Kejohanan Dunia. 

Jika berjaya, mereka akan terus bersama dan kalau gagal menepati sasaran (final), mungkin kita pisahkan mereka,” kata Chin Chai yang ditemui pada Majlis Pelancaran Akademi Badminton Air Asia di Petaling Jaya.

Menurut Chin Chai, apa yang berlaku di Terbuka Jepun ketika Kien Keat-Boon Heong tewas kepada pemain Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang adalah disebabkan mereka tidak mengikuti latihan intensif.

“Olimpik baru habis, mereka tidak sempat mengikuti latihan intensif dan pada masa sama beregu Korea itu memang tidak dinafikan bagus.

“Bagi saya, apabila mereka layak ke final, itu sudah menunjukkan yang mereka masih bagus.
“Ketika ini BAM masih tercari-cari kaedah latihan intensif sesuai dengan mereka. Kita tidak perlu bimbang, Sukan Olimpik masih jauh dan kita masih ada masa melakukan eksperimen ke atas setiap gandingan. Bagi Kien Keat-Boon Heong, mereka ada masa setahun lagi, kita tengok macam mana prestasi mereka,” kata Chin Chai.

Beliau juga menegaskan tiada jaminan skuad negara mempunyai gandingan yang lebih baik jika Kien Keat-Boon Heong dipisahkan.

No comments:

Post a Comment