Pages

Thursday, 27 September 2012

Zulfadli Tunjuk Kemampuan



BINTANG remaja negara diketuai juara Remaja Dunia, Zulfadli Zulkifli menepati ramalan mara ke pusingan ketiga GP Emas Terbuka Indonesia, hari ini.

Pemain KLRC itu mengatasi pemain tuan rumah, Febriyan Irvannaldy 21-16, 21-8 untuk berdepan seorang lagi pemain Indonesia, Yunus Alamsyah.

Kecemerlangan perseorangan negara terus dilakar pemain Projek 2016, Mohd Arif Latif, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat.

Arif menewaskan Arif Ramadhan dari Indonesia 21-19, 21-19 dan akan berdepan pemain kelayakan dari China, Kai Guo manakala Iskandar mengatasi Siswanto 21-13, 21-19, untuk bertemu lawan getir, iaitu pilihan keempat tuan rumah, Dionysius Hayom Rumbaka.

Ramdan juga berpeluang melakar kejutan ke atas pemain ternama dunia apabila dijadual menentang Sho Sasaki dari Jepun selepas dia menewaskan pemain tuan rumah, Senatria Agus Setia Putra 21-11, 21-14.

Soon Huat yang menundukkan Reksy Aureza Megananda (Indonesia) 21-13, 21-17, bakal berdepan pilihan ketiga, Tommy Sugiarto yang juga pemain tuan rumah.

Pusingan kedua perseorangan wanita hari ini akan berlangsung tanpa kelibat pemain negara selepas Sonia Cheah dan Yang Li Lian tewas kepada lawan masing-masing.

Bagi beregu lelaki hanya tinggal Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang untuk membawa cabaran negara apabila mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata 21-16, 21-15.
Mereka akan menentang pemain tuan rumah, Hafiz Faisal-Putra Eka Rhoma.

Pasangan lain, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han, Nelson Heg-Teo Ee Yi, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pula masing masing tewas kepada pemain tuan rumah kurang ternama.

Lebih memeritkan apabila pilihan keenam yang juga pasangan berpengalaman KLRC, Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari tersingkir kepada gandingan Indonesia, Rahmat Adianto-Angriawan Berry 20-22, 21-18, 21-23.

No comments:

Post a Comment