Pages
▼
Tuesday, 23 October 2012
Bendera Malaysia Tak Siap Jahit/ Tampal Lagikah???
MANA janji Kenny Goh memastikan Jalur Gemilang kembali diletakkan di dada pemain badminton negara kerana sehingga Datuk Lee Chong Wei muncul juara Siri Super Terbuka Denmark semalam, insiden kesilapan teknikal yang diakui Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Terbuka Jepun dan Taiwan itu masih berulang.
Pada Terbuka Taiwan awal bulan ini, sebuah paper mendapatkan reaksi daripada pengurus besar itu mengenai ketiadaan bendera negara di dada pemain dan beliau memberi jaminan akan memastikan Jalur Gemilang kembali dilekatkan pada jersi pemain kebangsaan.
Namun sebaliknya pula berlaku. Mungkin Kenny terlalu sibuk untuk memastikan semuanya kembali seperti sedia kala atau tugas itu perlu diletakkan di bahu pemain sendiri, untuk menjahit atau melekat bendera negara di jersi.
Kenny sebelum ini cuba mengaitkan ketiadaan Jalur Gemilang pada jersi pemain badminton kebangsaan dengan skuad bola sepak, namun beliau mungkin tidak sedar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengatasi masalah itu sejak 2009.
Jika diminta reaksi sekali lagi, beliau pasti menggunakan alasan di belakang atlet negara sudah tertera nama Malaysia, namun mungkin Kenny tidak sedar betapa pentingnya bendera negara dipaparkan di dada pemain terutamanya untuk meningkatkan lagi semangat kenegaraan, apa lagi ketika beberapa atlet negara diakui kurang patriotik.
Apa lagi agaknya alasan BAM kali ini, ketika negara yang memonopoli badminton dunia ketika ini, China tidak pernah lupa meletakkan bendera negara mereka di dada pemain.
Jika sebelum ini pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei sering mencium Jalur Gemilang di dadanya setiap kali menang ke atas pemain China, namun kemenangan ke atas Du Pengyu kelmarin tidak membolehkan dia berbuat demikian, mungkin sudah tiba masanya BAM perlu mendidik pemain untuk cintakan negara.
No comments:
Post a Comment