Tuesday, 18 December 2012

Kecergasan Daren, Wei Feng dipertingkat

Daren


BERMULA minggu depan, Liew Daren dan Chong Wei Feng akan mendapat lebih perhatian daripada jurulatih fizikal Institut Sukan Negara (ISN) Rosdhi Abdul Ghani bagi meningkatkan tahap kecergasan selepas jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan Tey Seu Bock mengesahkan kekurangan daya tahan mereka ketika beraksi di gelanggang.

Malah tahap kecergasan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang diragui ketika ini juga akan ditangani apabila kembali menyertai latihan bersama jurulatih kecergasan itu, minggu depan.

Wei Feng
“Chong Wei juga belum menyertai latihan fizikal sejak berkahwin kerana kami rancang memulakan latihan selepas Siri Super Final. Tidak banyak isu untuk meningkatkan kecergasan Chong Wei kerana dia pernah berada di tahap terbaik sebelum ini,” kata Rosdhi.

Begitupun Rosdhi perlu bekerja keras memastikan persediaan fizikal dan kecergasan dua pemain yang berada di belakang Chong Wei menjelang musim baru 2013 yang tidak sampai sebulan lagi.

“Wei Feng dan Daren mempunyai masalah berbeza dan program disediakan untuk mereka juga berlainan. “Untuk Wei Feng, saya perlu membentuk otot lengan lebih besar bagi menjadikan pukulannya lebih kencang. Malah badannya juga perlu lebih besar berbanding sekarang untuk menghasilkan tenaga ketika mengasak lawan.

“Daren pula, saya tidak lihat banyak kekurangan kecuali dari aspek ketahanan dan mental.” Rosdhi mengaku sebelum ini tidak mampu memfokuskan kepada kedua-dua pemain terbabit kerana keutamaan ditumpukan kepada Chong Wei untuk menghadapi Sukan Olimpik.

“Saya sudah minta kepada jurulatih perseorangan untuk melepaskan Wei Feng dan Daren sejam lebih awal hadir berlatih di bawah saya kerana jika datang sama waktu dengan Chong Wei, saya tidak dapat fokus kepada mereka.”

No comments:

Post a Comment