Pages

Wednesday, 16 January 2013

KBS Sedia Bantu Program Kelab Badminton



KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu kelab badminton untuk mencungkil bakat baharu dan melahirkan pemain pelapis bagi menerajui cabaran negara di persada antarabangsa.
Demikian tegas menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
Beliau mengakui, terdapat kelab yang tampil dengan cadangan baik untuk mencari pemain pelapis badminton negara.
"Kita sedia membantu mana-mana (kelab badminton) yang datang dengan kertas cadangan yang baik. Kita akan pertimbangkan apakah bentuk kerjasama yang boleh diberikan.
"Kita tidak boleh berharap hanya satu sistem sahaja dalam melahirkan pemain- pemain badminton negara. Sama ada pemain itu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kelab Nusa Mahsuri atau pun kelab-kelab lain, itu tidak penting.
"Yang penting pada akhirnya kita dapat melahirkan jaguh badminton negara yang akan bertanding di persada dunia," katanya selepas majlis prapelancaran My Mega- mind 2013 di Putrajaya semalam.
Ditanya tentang pemain berkaliber untuk menggantikan jaguh perseorangan negara dan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei selepas dia menggantung raket kelak, Ahmad Shabery berkata: "Saya belum ada jawapan lagi kerana bukan senang untuk melahirkan pemain pelapis."
Beliau memberi contoh bekas pemain tenis No. 1 dunia, Andre Agassi yang masih belum ada penggantinya di Amerika Syarikat.
"Pemain-pemain badminton negara yang lain perlu membuktikan dengan keputusan-keputusan yang lebih baik (dalam kejohonan), kerana kita tahu bintang sukar diganti.
"Kita tahu ia bukan perkara mudah untuk mencari pemain pelapis dan masalah itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah berlaku di mana-mana," katanya.
Mengenai ketiadaan bintang China pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia Maybank 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil yang bermula semalam, Ahmad Shabery berkata, Chong Wei yang muncul juara Terbuka Korea pada Ahad lalu merupakan tarikan tersendiri.
Menurut beliau, ini kerana penyokong tempatan ingin melihat prestasi pemain kesayangan mereka memberi cabaran lebih hebat selepas berumah tangga.
"Peminat tempatan harus datang ke Stadium Putra untuk memberi sokongan kepada Chong Wei yang memburu kejuaraan buat kali kesembilan," katanya.-kosmo

No comments:

Post a Comment