Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts
Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts

Thursday, 23 May 2013

"Sudah Terang Lagi Bersuluh"- Khairy


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas BAM ekoran prestasi buruk skuad negara pada kejohanan badminton Piala Sudirman 2013.

"Sebagai menteri, saya kecewa dengan kekalahan pasukan negara. Tidak pernah dalam sejarah skuad negara kecundang kepada pasukan yang jauh lebih lemah (atas kertas)... realitinya kita lagi lemah daripada mereka.

"Saya harap BAM memandang serius perkara ini kerana ramai pihak termasuk saya sangsi dengan kebolehan BAM mengendalikan sukan badminton negara pada masa ini," kata- nya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di Putrajaya semalam.

"Kementerian tidak boleh masuk campur dalam perjalanan persatuan sukan tetapi ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Sebagai menteri, saya bertanggungjawab ke atas segala pembangunan sukan dan telah banyak sokongan yang kementerian beri kepada persatuan. Mereka perlu bertanggungjawab kerana soal akauntabiliti itu akhirnya dapat dijawab melalui prestasi," katanya.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa (rombakan) sebab bukan kuasa menteri tetapi saya berpendapat, perubahan perlu dilakukan dalam apa jua bentuk... bukan perlu lepas jawatan.

"Saya rasa kekalahan malam tadi (semalam) membawa kepada maksud 'sudah terang lagi bersuluh'," katanya lagi.

Thursday, 16 May 2013

Khairy Menteri Kementerian Belia & Sukan Yg Baru



“SAYA bertekad mentransformasikan pembangunan serta agenda sukan negara seiring dengan kepesatan pembangunan negara.”

"Pelantikan ini merupakan satu penghargaan buat seluruh pemuda serta belia di negara ini, dan saya berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diberikan ini sebaik mungkin ".

Demikian wawasan Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baharu, Khairy Jamaluddin.

“Selain itu, ia juga satu amanah sangat besar buat diri saya dalam memastikan pembangunan belia dan sukan di negara ini berterusan serta mampu menggegar arena sukan dunia,” kata Khairy

Menurutnya, dia akan menggalas tugas tersebut sebaik mungkin bagi memastikan sukan negara terus menikmati pembangunan serta kejayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan & Datuk M. Saravanan pula dilantik sebagai Timbalan Menterinya.

Jawatan tersebut sebelum ini dipegang Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berpindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib atas kepercayaan yang diberikan dan saya menganggap amanah yang diberikan ini adalah mewakili suara seluruh anak muda di negara ini yang sentiasa menyokong kerajaan dalam membangunkan negara.

Kata Khairy lagi, matlamat utamanya sudah semestinya mengharapkan prestasi sukan negara secara keseluruhan akan terus meningkat pada tahun ini dan nasib atlet-atlet negara juga akan menjadi keutamaannya nanti.