Showing posts with label klrc. Show all posts
Showing posts with label klrc. Show all posts
Tuesday, 9 October 2012
Zakry-Fairuzizuan Tekad Rampas Beregu Lelaki no.1 Negara
GANDINGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong nampaknya sudah tidak boleh terlalu selesa dengan status selaku beregu No. 1 negara.
Ini kerana, Kien Keat-Boon Heong sudah ada ancaman dalam usaha mereka mereka mengekalkan status tersebut.
Beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari membuktikan gandingan mereka masih relevan selepas menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2012 kelmarin.
Kejayaan itu hadir selepas Zakry-Fairuzizuan menewaskan beregu Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 21-12, 21-14 pada perlawanan akhir kelmarin.
Ia sekali gus meletakkan mereka pada landasan tepat dalam usaha merampas status sebagai beregu No. 1 negara biarpun kini bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).
Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Zakry-Fairuzizuan mampu menggugat status Kien Keat-Boon Heong namun kejayaan di Taiwan dianggap sebagai satu petanda terhadap kebangkitan mereka.
Mengakui sukar untuk melaksanakan matlamat tersebut dalam tahun ini berdasarkan kedudukan ranking dunia, Zakry-Fairuzizuan optimis ia mampu direalisasikan pada tahun depan.
“Memang kami mahu mengambil alih status selaku beregu No. 1 negara kerana ia bukan suatu yang mustahil.
“Namun, untuk melakukannya pada tahun ini memang sukar dan mengambil sedikit masa kerana kami ketinggalan jauh berdasarkan kedudukan ranking dunia. Ketika ini, kami menghuni rangking No. 27 dunia manakala Kien Keat-Boon Heong menghuni ranking No. 6.
“Jadi, jika semuanya berjalan mengikut perancangan dan kami boleh mengekalkan konsistensi kami pada kejohanan-kejohanan akan datang, tahun depan adalah masa yang paling tepat untuk mencabar kedudukan Kien Keat-Boon Heong,” kata Zakry ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Melihatkan kepada matlamat tersebut ia memang sukar tetapi jika Kien Keat-Boon Heong terus bergelut dengan prestasi tidak menentu seperti mana yang dialami mereka sebelum ini, peluang Zakry-Fairuzizuan pasti akan tiba.
Namun, dengan syarat, mereka perlu kekal konsisten dan melakarkan seberapa banyak kejayaan yang boleh dalam mana-mana kejohanan disertai selepas ini.
“Saya yakin kami boleh melakukannya. Persembahan kami di Taiwan adalah yang terbaik selepas setahun kami bergandingan semula.
“Lagipun, kami sudah mula mendapat rentak permainan semula dan tahap keyakinan diri kami juga semakin meningkat. Ini merupakan petanda positif bagi karier kami dalam sukan badminton.
“Apa yang akan kami lakukan selepas ini adalah terus mengikut program latihan yang telah dirancang oleh jurulatih (Razif Sidek). Dalam masa yang sama, kami akan memperbaiki segala kelemahan,” jelas Zakry.
Sebagai rekod, kejuaraan di Taiwan adalah yang pertama buat Zakry-Fairuzizuan sebaik bergandingan semula selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ogos 2011.
Sebelum itu, pencapaian terbaik mereka ialah muncul naib juara pada GP Emas Terbuka Thailand Jun lalu.
Kali terakhir gandingan mereka bergelar juara adalah pada Siri Super Terbuka India 2010 sebelum mereka dipisahkan oleh BAM.
Thursday, 19 July 2012
Presiden KLRC rai media, pegawai MOM
![]() |
| Sekadar hiasan |
KLRC menjamu wartawan dan kakitangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpesta durian, sempena temasya Olimpik London yang makin hampir.
Pengerusi kelab itu, Datuk Seri Andrew Kam meraikan petugas media termasuk yang akan membuat liputan di temasya sukan di London bermula 25 Julai ini dengan menjamu lebih 100 biji buah durian ‘Musang King’ di perkarangan tempat letak kereta MOM.
Wartawan daripada semua media hadir termasuk Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi dalam majlis sederhana yang turut diserikan dengan kehadiran pemain dan keluarga badminton KLRC.
Pesta durian itu berlangsung dalam suasana cukup menggembirakan, apabila wartawan dapat mengenal lebih dekat lagi dengan pemilik KLRC serta para pemain mereka.
Bintang remaja negara Zulfadli Zulkifli turut hadir bersama keluarganya, kelihatan amat gembira terutamanya selepas mencatat kejayaan terbaru muncul juara Sukma di Kuantan baru-baru ini.
Selain itu, beregu berpengalaman Fairuzizuan Tazari-Zakry Latif serta bekas pemain K Yogendran, Sairul Amar Ayub, Sugina Kunalan, Anita Raj Kaur dan Ang Li Peng turut memeriahkan lagi pesta durian itu.
Andrew yang taksub dengan sukan badminton berharap emas pertama Olimpik dibawa pulang kontinjen negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei dan baru-baru ini beliau sendiri menawarkan kepada mana-mana atlet badminton yang raih emas Olimpik akan menerima jongkong emas bernilai lebih RM2 juta.
Subscribe to:
Posts (Atom)

