Pages

Friday 25 May 2012

ChOnG WeI KesunTuKaN MasA


Pasukan perubatan yang merawat kecederaan buku lali Datuk Lee Chong Wei perlu 'berperang' dengan masa dalam usaha mengembalikan pemain No.1 dunia itu ke tahap fizikal terbaik menjelang Sukan Olimpik. Kecederaan yang dialami prospek emas Olimpik pertama negara ketika menentang Peter Hoeg Gade pada Piala Thomas kelmarin disahkan tidak serius selepas menjalani ujian MRI kali kedua di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Jalan Dungun semalam.

Hasil laporan ujian MRI itu mendapati Chong Wei hanya mengalami sedikit koyakan ligamen dan tidak membabitkan keretakan tulang yang tidak memerlukan pembedahan.

Bagaimanapun masa semakin suntuk buat Chong Wei yang dijangka memerlukan empat hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkata, timbul tanda tanya sekiranya Chong Wei mampu bertanding di London pada tahap kecergasan yang diingini.


"Pakar KLSMC yang merawat Chong Wei iaitu Dr. Saw Khay Yong bersama ISN, akan mencuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses pemulihan Chong Wei. Inilah tanggungjawab dan cabaran terbesar kami.

"Masa begitu suntuk, jika dikira secara tepat hanya berbaki 64 hari sebelum bermulanya Olimpik London. Kalau ada empat bulan, tiada apa untuk dirisaukan.

"Malah selepas rawatan, rehabilitasi juga akan memakan masa dan itu belum termasuk Chong Wei kembali menjalani latihan.

"Kami yakin boleh membantu menyembuhkan Chong Wei dalam masa secepat mungkin, namun kami tidak berani menjamin dia dapat beraksi sehebat seperti kebiasaannya apabila dia turun ke gelanggang kelak," ujar Dr. Ramlan yang ditemui di KLSMC semalam.

Mengenai kaedah rawatan mempercepatkan pemulihan, katanya, Chong Wei akan diberi rawatan sel stem oleh Dr. Saw, yang merangkumi tiga kali suntikan (berselang lima hari sekali dalam dua minggu akan datang) untuk menumbuhkan semula rawan yang rosak.

"Kaedah ini memasukkan sel sendiri ke dalam buku lalinya. Ia satu cara yang selamat dan tidak timbul kebimbangan mengenai kesesuaian kepada badannya.

"Kami penuh yakin dengan kaedah rawatan Dr. Saw yang sebelum ini juga pernah merawat Wong Mew Choo.Dengan mengguna pakai cara ini, kami berharap ia dapat menyingkatkan tempoh pemulihan Chong Wei," katanya.

Dr. Ramlan juga akan mencadangkan Chong Wei memakai sarung pelindung buku lali apabila bertanding di Olimpik nanti.

"Sesiapa yang pernah mengalami kecederaan buku lali akan dibelenggu masalah 'proprioception' atau deria posisi. Pergerakan mereka seperti melompat dan mendarat seolah-olah terjejas," jelasnya.

Menurutnya, bintang tenis, Andy Murray pernah memakainya dan ia membantu beraksi seperti biasa tanpa menjejaskan prestasinya.

Chong Wei bertuah kerana selain Dr. Saw, dia juga mendapat nasihat tambahan daripada pakar ortopedik terkenal United Kingdom, Dr. Nicholas Geary yang kebetulan berada di ibu negara untuk merawat kecederaan lutut.

No comments:

Post a Comment