Pages

Monday, 4 June 2012

Rosman RanGka StRateGi AmpuH


BEREGU wanita negara akan kembali hambar selepas Olimpik nanti, justeru ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak memulakan rancangan jangka panjang dengan sasaran menaikkan beregu muda Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean sebagai beregu kedua yang kuat.

Menurut Rosman, selepas Olimpik London tidak ada lagi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui kerana Pei Tty mahu bersara selepas tidak mampu lagi kembali ke tahap kecergasan optimum.

“Pei Tty beritahu mahu bersara selepas Olimpik, jadi saya perlu segera mengangkat beregu kedua yang kuat daripada skuad remaja,” kata Rosman.


Pei Tty-Eei Hui tidak layak secara merit ke Olimpik London selepas sekadar tersenarai sebagai simpanan pertama, justeru Pei Tty menyuarakan kepada Rosman mahu bersara dan menyimpan hasrat menjadi sebahagian jurulatih skuad kebangsaan. Eei Hui pula menurut Rosman akan terus bermain di peringkat kebangsaan.

“Siapa gandingan Eei Hui, saya belum fikirkan lagi. Memang Eei Hui sudah berusia tapi kehadirannya dalam skuad kebangsaan amat penting kerana dia boleh membimbing pemain muda di kejohanan antarabangsa.

” Ketiadaan Pei Tty, 31, Eei Hui, 30, sebagai beregu wanita utama negara sudah diisi gandingan muda Woon Khe Wei, 23, dan Vivian Hoo, 22, yang kini berada di ranking ke-22 dunia.

“Khe Wei-Vivian berada di tahap terbaik untuk menyelinap masuk ke kelompok 10 teratas dunia selepas Olimpik. Jadi sasaran saya adalah membentuk gandingan mantap antara Mei Kuan-Meng Yean yang sudah mula menjalani latihan dengan skuad senior.

“Pemain ini masih bermain di Kejohanan Remaja Asia dan Dunia tahun ini. Saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk mereka menyinar di peringkat remaja dan senior,” kata Rosman.

Mei Kuan-Meng Yean kini berusia 18 tahun mempamerkan persembahan mantap di kejohanan remaja tahun lalu. Mereka mara ke pusingan ketiga Remaja Dunia dan melangkah ke final Remaja Asia, satu petanda yang cukup baik untuk Rosman menggilap bakat dua pemain ini.

Meskipun cuba mengangkat Mei Kuan-Meng Yean sebagai gandingan kedua, Rosman tetap akan fokus kepada beberapa lagi gandingan yang sedia ada seperti Lim Yin Loo, Marylin Ng Paou Leng dan Sabrina Chong.

No comments:

Post a Comment