Monday 30 July 2012

BEREGU LELAKI TERUSKAN PEMBURUAN PINGAT





KOO Kien Keat dan Tan Boon Heong memberi harapan pingat Sukan Olimpik berada dalam genggaman mereka apabila meneruskan rentak kemenangan di Wembley Arena, semalam.

Mereka menampilkan persembahan berkualiti untuk membenam bekas juara dunia, Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat dengan 21-12, 21-14 dalam masa 24 minit.
Walaupun masih ada cabaran lebih sukar menanti – pasangan Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dalam aksi terakhir Kumpulan D, Kien Keat dan Boon Heong menampilkan wajah penuh yakin.

“Menang dua perlawanan itu menyuntik keyakinan kami,” katanya Boon Heong. “Kami sedar yang kami tidak begitu menyerlah sebelum ini tapi kami bertekad untuk memberikan yang terbaik di sini dan setakat ini, kami berada di trek yang betul.”

Kien Keat berkata, selepas mengesahkan tempat mereka di suku akhir seperti mana ketika mereka tersingkir di Beijing empat tahun lalu, mereka begitu bertekad untuk melakukan yang terbaik kali ini.

“Kami bermain baik dan sekarang berada di suku akhir. Tidak kisah siapa kami jumpa. Untuk menang, kami perlu menewaskan yang terbaik dan itu yang kami fokuskan,” kata Kien Keat.

Dalam acara perseorangan, pemain China, Chen Long menunjukkan dia pemain yang perlu ditewaskan selepas menewaskan Boonsak Ponsana dari Thailand, 21-12, 21-17. Dia begitu menyerlah terutama pada set kedua apabila bamgkit daripada ketinggalan 12-16 untuk menang.

Chen Long dijangka bertemu dengan Datuk Lee Chong Wei di separuh akhir.

Pemain Indonesia, Simon Santoso dijangka menjadi pencabar Chong Wei di pusingan kedua, membuka cabaran Kumpulan B dengan kemenangan 21-12, 21-18 ke atas pemain Estonia, Raul Must manakala pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il dengan mudah menundukkan Virgil Soeroredjo dari Surinam 21-12, 21-7.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kembali mempunyai peluang terbuka selepas pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam menundukkan gandingan Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing 21-15, 21-16.

Pasangan Malaysia itu tewas perlawanan pembukaan Kumpulan D kepada gandingan Taiwan berkenaan pada Sabtu lalu dan kini berdepan dengan gandingan China, Xu Chen-Ma Jin dalam perlawanan lewat.

No comments:

Post a Comment