Pages

Tuesday, 17 July 2012

Koo-Tan mula tunjuk kemantapan


Ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her sebelum ini tidak pernah begitu optimis terhadap peluang pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Olimpik London, namun nadanya mula bertukar selepas tiga hari skuad badminton kebangsaan menjalani latihan insentif di Bath University, United Kingdom.

Katanya, latihan diteruskan seperti biasa, namun barangkali kerana bahang temasya sudah semakin dirasai, 11 hari menuju pembukaan Olimpik London 27 Julai ini, pemain mula mendedahkan 'wajah sebenar' mereka dan keghairahan untuk memburu kejayaan.

Malah, Kim Her menyifatkan perkembangan terkini bekas juara Sukan Asia dan England itu sebagai 'baik sekali' dan percaya pingat berada di dalam genggaman seandainya mereka mampu meneruskan keadaan tersebut sepanjang temasya berlangsung.

"Mereka menjalani latihan seperti biasa di Bath dan semuanya berlangsung dengan cukup sempurna ketika ini.

"Keadaan Kien Keat dan Boon Heong amat baik sekali, kalau mereka boleh mengekalkan keadaan sekarang, saya memang yakin peluang mereka untuk membawa pulang pingat sangat tinggi,'' ujar Kim Her ketika dihubungi di Bath, semalam.

Tambah Kim Her lagi, selain menyiapkan pemain daripada segi fizikal, teknikal dan taktikal untuk menghadapi cabaran di London, mereka juga berdepan tugas penting memastikan semua pemain tidak mengalami masalah kesihatan dan kecederaan.

Justeru, latihan 11 hari di Bath University boleh dianggap tempoh kritikal untuk memastikan pemain bukan saja diberikan persiapan terakhir yang sempurna, malah bebas daripada segala masalah yang tidak diingini, terutama kecederaan.

"Kita perlu melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi musuh-musuh yang kuat dari China, Korea Selatan dan Denmark.

"Namun dalam usaha melakukan persiapan itu juga, kita perlu memastikan keadaan pemain tidak terjejas. Mereka harus dipastikan bebas daripada kecederaan serta masalah kesihatan,'' tambah Kim Her lagi.

Keadaan cuaca di Bath ketika ini lebih sejuk berbanding London, iaitu 14 darjah celsius. Suhu di London, 17 darjah celsius. Itu memberikan cabaran tambahan kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan temasya apabila badminton membuka tirai pada 28 Julai.

Menurut Kim Her lagi, selain persiapan dan penyesuaian yang dilakukan pemain, kekuatan mental mereka pada hari pertandingan juga akan menentukan siapa lebih berpeluang memenangi pingat.

"Siapa yang lebih berani dan mempunyai kekuatan mental yang tinggi pada hari pertandingan, maka dia yang paling berpeluang untuk membawa pulang emas,'' katanya.

Selepas mempamer kemunculan sensasi pada 2006, Kien Keat-Boon Heong gagal meneruskan kehebatan mereka pada kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik. Pada Olimpik Beijing, empat tahun lalu, pasangan No. 8 dunia ini tersingkir di suku akhir kepada beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan yang kemudian muncul juara.

Mereka hanya memenangi dua gelaran berstatus sederhana dalam tempoh dua tahun ini, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia pada kedua-dua tahun tersebut. Skuad badminton Malaysia tiba di Bath, Sabtu lalu untuk memulakan latihan insentif dan akan terbang ke London pada 23 Julai, hari di mana undian Olimpik bakal berlangsung.

No comments:

Post a Comment