Pages
▼
Tuesday, 17 July 2012
Mesej ‘sembunyi’ Zulfadli
SUKAN Malaysia (Sukma) menjadi satu lagi bukti pemain KLRC, Zulfadli Zulkifli adalah yang terbaik di Malaysia selepas Datuk Lee Chong Wei.
Juara remaja Asia, Komanwel dan Dunia 2011 itu dinafikan peluang beraksi di Piala Thomas Mei lalu kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bersedia mengiktiraf kejayaan pemain yang tidak bernaung di bawah mereka, apabila mengatakan kejayaan peringkat remaja tidak mencerminkan kemampuan pemain terbabit.
Begitupun, Zulfadli yang pasti menempuh perit-jerih apabila bergelar pemain profesional pada usia muda, menjadikan KLRC serta bapanya Zulkifli Sidek berada di martabat lebih tinggi berbanding BAM.
Selepas menjuarai tiga gelaran utama tahun lalu, Zulfadli membuktikan pemain yang mengikut program pelapis BAM mahupun Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bukan pencabarnya di peringkat kebangsaan apabila muncul juara menewaskan pemain Johor, Tan Kiang Meng untuk meraih pingat emas buat kontinjen Kuala Lumpur sedangkan pemain BAM Iskandar Zulkarnain, juga dari Johor sekadar gangsa.
Mungkin ada pihak dalam badan induk badminton negara itu akan mempertikai kejayaan terbaru Zulfadli, bertaraf rendah iaitu hanya membabitkan pemain tempatan, namun perlu diingat BAM juga sering menggunakan alasan pemain bebas atau profesional yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding pemain mereka, gagal menempatkan diri di kedudukan terbaik di pentas kebangsaan seperti sirkit kebangsaan.
Perkara ini pernah disebut badan induk itu ketika menjawab persoalan mengapa gandingan KLRC, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen tidak dipilih mewakili negara di Kejohanan Dunia tahun lalu meskipun gandingan terbabit layak secara automatik.
Malah ketika ini juga KLRC menjadi nadi kebangkitan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif. Sejak bersatu kembali di bawah kelab terbabit pada September tahun lalu, mereka yang membina semula kerjaya di ranking ke-320 dunia kini berada di kedudukan ke-28, satu peningkatan yang meletakkan mereka sebagai gandingan ketiga terbaik negara di belakang Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Kedudukan terkini gandingan profesional ini memungkinkan mereka memburu tempat ke Kejohanan Dunia tahun depan, namun adakah insiden yang dialami Teik Chai-Bin Shen akan berulang kerana BAM masih belum mengeluarkan garis panduan jelas untuk pemilihan pemain mewakili negara di kejohanan besar.
Gandingan ini juga bakal menjadi yang kedua terbaik negara andai BAM benar-benar memisahkan gandingan Kien Keat-Boon Heong sekiranya gagal menghasilkan keputusan yang disasar di Olimpik selepas pelbagai drama oleh gandingan serta jurulatih tiada kesudahan.
No comments:
Post a Comment