Showing posts with label razif sidek. Show all posts
Showing posts with label razif sidek. Show all posts

Monday, 17 June 2013

Razif Pertikaikan Tindakan Kim Her



“Sebelum Paulus tiba lagi sudah terserlah kegagalan, terima sajalah kenyataan yang berlaku. Isu di sini bukan saja membabitkan Kien Keat-Boon Heong tapi juga Hoon Thien How-Tan Wee Kiong. Mereka di tempat ke tujuh dunia tapi tiada kejuaraan,” kata Razif.

Razif juga mempersoalkan tugas Kim Her yang gagal menyerlahkan juara remaja dunia yang berada dalam kem kebangsaan.

“Kita memiliki juara remaja dunia tapi sehingga hari ini mereka belum menyerlah, apakah program yang dibuatnya, adakah beliau suka menyimpan kualiti yang kita ada sehingga berkarat?” soal Razif.

“Keputusan beliau menyerahkan Kien Keat-Boon Heong kepada Paulus sudah salah. Apa standard Paulus untuk melatih dan menjaga pasangan kelas dunia seperti Kien Keat-Boon Heong? Beliau (Kim Her) kembali dengan latar belakang pernah melatih Korea dan England, jadi tunjukkan kualiti yang ada tapi kalau benar beliau bagus, tentu Korea mahupun England tidak akan lepaskannya,” kata Razif.

Sebelum ini BAM menjelaskan pendirian tidak akan menyambung kontrak jurulatih itu sekiranya masih gagal menunjukkan prestasi namun Kim Her membawa isu beliau tidak bertanggungjawab ke atas kegagalan Kien Keat-Boon Heong kerana tidak melatih pemain itu secara langsung.

Tuesday, 7 August 2012

"BAM KENA BRTGJAWAB"..RAZIF


“BAM (Persatuan Badminton Malaysia) gagal.” Itu rumusan yang diberikan oleh bekas pakar beregu negara, Razif Sidek selepas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei gagal meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012.

Chong Wei terpaksa akur dengan kehebatan bintang sensasi China, Lin Dan apabila dia tewas 21-15, 10-21, 19-21 pada aksi final acara perseorangan lelaki di Arena Wembley, London kelmarin.

Razif berkata, BAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut kerana sasaran utama badan induk itu pada temasya kali ini adalah membawa pulang pingat emas dari bumi London.

“Jika empat tahun lalu di Beijing, China (Sukan Olimpik 2008), mungkin kita boleh maafkan apabila gagal meraih pingat emas kerana ketika itu, kejayaan Chong Wei memenangi pingat perak sudah dianggap pencapaian terbaik.

“Namun, selepas empat tahun, BAM sepatutnya tidak boleh memberikan apa-apa lagi alasan. BAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana gagal meraih pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini.

“Kita sudah banyak bazirkan masa dan wang bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini. Namun, itu semua tidak menjadi kenyataan sebaliknya kita terus kecundang,” kata Razif ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, BAM perlu melakukan perubahan drastik terutama terhadapa barisan kejurulatihan dan pengurusan jika mahu melihat sukan badminton negara terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Jelas Razif, BAM perlu mencari barisan jurulatih berprofil tinggi bagi menggantikan jurulatih-jurulatih sedia ada.

“Siapa selepas Chong Wei? Soalan itu BAM perlu jawab kerana Chong Wei dikatakan akan bersara selepas Sukan Olimpik 2012.

“Jika kita lihat barisan pemain pelapis yang ada ketika ini, kesemua mereka sebenarnya telah terlalu jauh ketinggalan. Sebab itu, BAM perlu ada jurulatih yang benar-benar mampu untuk membentuk bertaraf dunia.

“Bagi saya, jurulatih-jurulatih yang ada ketika ini, faham-faham sendiri sahajalah. Dalam tempoh empat tahun (selepas Sukan Olimpik 2008) tidak ada kejayaan yang membanggakan dicapai.

“Jadi, jurulatih itu semua gagal termasuk pihak pengurusan BAM sendiri. Saya berasa, tempoh tersebut sudah cukup lama, jadi bagilah peluang kepada orang baharu untuk melaksanakannya,” jelas Razif.

Sebagai rekod, Razif merupakan pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki bersama adiknya, Jalani Sidek pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.

Kekalahan kepada Lin Dan kelmarin menyaksikan Chong Wei sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas dia turut ditumbangkan pemain No. 1 dunia itu pada aksi final Olimpik 2008 di Beijing