Wednesday, 22 August 2012

RASHID CONGAK PEMAIN BERBAKAT


KESUDAHAN perjalanan Datuk Lee Chong Wei di Olimpik London tanpa membutirkan pingat emas membuatkan ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih telus mengetengahkan pemain berbakat, biarpun masih di bangku sekolah.

Meskipun Chong Wei menyuarakan kesanggupan untuk mewakili negara di Olimpik Rio empat tahun akan datang, semuanya bergantung kepada kemampuan fizikalnya dan untuk terus meletakkan harapan menggunung di bahu pemain nombor dua dunia itu semata-mata, BAM pasti berdepan risiko besar kemungkinan tidak akan ada pemain negara layak ke temasya sukan termasyhur itu.

“Sememangnya Chong Wei masih mampu bermain di Rio tapi untuk kita harapkan emas, saya rasa keadaan itu sukar kerana pada usia yang meningkat, kemampuan badannya akan merosot,” kata Rashid.

“Saya pasti jika Chong Wei terus bermain, dia akan layak ke Olimpik sekali lagi tapi kita perlu sediakan pemain muda untuk mencabar pingat emas.” Chong Wei yang bergelut untuk pulih dari kecederaan buku lali yang menimpanya pada saingan Piala Thomas, Mei lalu menunjukkan permainan hebat berdepan Lin Dan dari China pada final Olimpik tapi sayang dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Rashid berkata, tiada cara lain lagi kecuali mengetengahkan pemain muda tanpa mengira mereka dari skuad elit, pelapis mahupun dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Untuk Rio, kita tiada pilihan lagi. Mahu atau tidak, kita mesti beri lebih banyak pendedahan kepada pemain berbakat, tidak kiralah mereka dari skuad elit, pelapis mahupun mereka di peringkat remaja yang masih bersekolah.

“Memang diakui pemain dalam skuad elit kita juga masih terlalu jauh standard berbanding Chong Wei tapi kami perlu alihkan tumpuan meningkatkan kualiti pemain muda.

“Jika ada di kalangan pemain berusia 17 atau 18 tahun sekalipun, kita mesti beri peluang sama rata untuk mereka buktikan kemampuan melayakkan diri ke Olimpik. “Lagi awal pendedahan diberi, lagi cepat pemain matang,” kata Rashid lagi.

Ketika ini, barisan pemain yang berada di skuad elit seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng menunjukkan sedikit peningkatan manakala Chan Kwong Beng tidak senasib mereka.

Pemain pelapis seperti Muhd Arif Latif pula bergelut untuk membuktikan kemampuan ketika Misbun Ramdan Misbun dan Iskandar Zulkarnain mempamerkan semangat juang tinggi apabila diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.

Selain pemain yang bernaung di BAM, Zulfadli Zulkifli, 19, dari KLRC seharusnya mendapat sokongan penuh daripada badan induk badminton negara jika mereka benar-benar mahu melihat percambahan pemain sehebat China berlaku di negara ini.

No comments:

Post a Comment