Wednesday 29 August 2012

"SAYA TAK TERKILAN"-KAH MING


Chooi Kah Ming(Kanan)
PEMAIN pelapis negara, Chooi Kah Ming tidak terkilan apabila kudratnya lebih diperlukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengharungi acara beregu lelaki berbanding beregu campuran.

Kah Ming, 21, berkata, biarpun menghadiahkan pingat emas dalam acara beregu campuran pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Julai lalu, dia menerima keputusan badan induk badminton itu yang memintanya memberi tumpuan kepada beregu lelaki, dengan hati terbuka.

“Sebagai pemain pelapis, saya sedia memberikan yang terbaik buat negara dan saya akan balas kepercayaan jurulatih yang mahukan saya bermain dalam acara beregu lelaki.

“Pada Sukma lalu, Persatuan Badminton Pahang (PBP) menggandingkan saya dengan Lai Pei Jing bagi meraih pingat dan kami berjaya menunaikan tanggungjawab itu,” katanya semalam.

Skuad badminton Pahang meraih satu pingat emas dalam acara beregu campuran hasil gandingan Kah Ming-Pei Jing dan ia menjadi pencapaian terbaik negeri itu sepanjang penganjuran Sukma.

Kejayaan dua pemain itu membuktikan Pahang mampu melahirkan pemain berwibawa.

Dalam perkembangan terbaru, Kah Ming yang bergandingan dengan Ow Yao Han, 20, dari Melaka kini dalam persiapan menghadapi Kejohanan GP Emas Indonesia bermula 21 September depan.

Menurutnya, sasaran mereka ialah untuk mencatat kejayaan terbaik biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi terutama daripada pemain tuan rumah sendiri.

“Saya difahamkan kejohanan ini bukan saja disertai pemain senior dan berpengalaman, malah pemain pelapis. Sama ada pemain China turut serta pada kejohanan itu tidak dapat dipastikan.

“Bagaimanapun, saya dan Yao Han sudah bersedia untuk mempamerkan permainan mantap dan bertenaga,” katanya yang kini menjalani latihan intensif di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment