Tuesday, 28 August 2012

SUPERDAN INTAI HATRIK OLIMPIK 2016


Bintang badminton China, Lin Dan menafikan sebarang rancangan untuk bersara, sebaliknya menyatakan dia mungkin mempertimbangkan matlamat memburu gelaran ketiga Olimpik berturut-turut pada 2016.

'Super Dan', 28, dijangka bersara tidak lama lagi selepas dia menjadi pemain lelaki pertama untuk mempertahankan pingat emas Olimpik di London awal bulan ini.

Namun Lin, yang disifatkan sebagai antara atlet terulung dunia sepanjang zaman, memberitahu dia cuma mahu berehat selepas tamat Olimpik dan hari ini, dia sedia kembali beraksi dalam kancah liga badminton tempatan China.

"Saya tidak pernah cakap saya bakal bersara. Apa yang saya kata ialah saya ingin berehat seketika.

"Saya harap dapat menetapkan matlamat baru sepanjang tempoh berehat, di samping menyelaras kembali keadaan fizikal saya," kata pemain No.1 dunia itu.

Lin menewaskan seteru utama, Datuk Lee Chong Wei dalam final ulangan Olimpik di London. Chon Wei juga tidak menolak kemungkinan akan meneruskan aksi sehingga Rio de Janeiro 2016.

"Jika musuh saya mampu melakukannya sehingga ke Olimpik Rio, maka saya juga cuba melakukannya," ujar Lin.

Kejayaan Lin mempertahankan kejuaraannya turut membantu China menyapu bersih kesemua lima emas yang dipertandingkan buat kali pertama dalam sejarah Olimpik, meskipun dicemari skandal mengatur perlawanan melibatkan pasangan beregu wanitanya.

No comments:

Post a Comment