Tuesday, 10 April 2012
ChoNg WeI & NiCol CalOn PopUlAR ReBuT AnugEraH OlahRaGAwaN & OlaHRagaWaTi 2011
Dua atlet elit bergelar Datuk, Lee Chong Wei dari sukan badminton dan ratu skuasy negara Nicol Ann David, terus menjadi calon popular yang tersenarai bagi merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011.
Nicol merupakan pemenang Olahragawati Kebangsaan 2010 dan bersama Chong Wei pernah menjadi pemenang bagi kategori masing-masing bagi anugerah tahun 2009.
Tahun ini, persaingan bagi kedua-dua kategori bertambah sengit berikutan hadiah bagi pemenang Olahragawan dan Olahragawati dinaikkan 100 peratus.
Pemenang kedua-dua kategori itu masing-masing akan menerima RM20,000 berbanding RM10,000 tahun sebelumnya.
Turut dinaikkan ialah habuan untuk pemenang bagi kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan dan Pasukan Wanita Kebangsaan, yang mana masing-masing akan menerima RM20,000 atau RM3,000 seorang, berbanding RM10,000 atau RM1,500 seorang tahun sebelumnya.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat panel pemilihan anugerah Sukan Negara 2011, berkata lapan kategori dipertandingkan pada anugerah kali ini.
"Pihak panel pemilihan telah menyenarai pendek calon penerima anugerah bagi kategori masing-masing," katanya.
Majlis Anugerah Sukan Negara 2011 akan diadakan di Palace of the Golden Horses di sini pada 17 April, bermula 8.30 malam.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dijangka berangkat hadir dan menyampaikan hadiah-hadiah utama.
Bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, Chong Wei akan disaingi Sazali Abdul Samad (bina badan), Cheng Chu Sian (memanah), Bryan Nickson Anak Lomas (terjun), Adrian Ang Hsien Loong (tenpin boling) dan Leong Tze Wai (karate).
Saingan terdekat pemain badminton nombor satu dunia itu ialah Chu Sian dan Bryan Nickson.
Sepanjang tahun 2011, Chong Wei berjaya mengekalkan gelaran pemain nombor satu dunia selama 40 bulan, dari 2008 hingga Disember 2011 selain menjadi juara tujuh kejohanan antarabangsa, enam daripadanya kejohanan Siri Super dan Siri Super Premier.
Chu Sian pula meraih tempat kedua pada Grand Prix Memanah Asia yang pertama di Thailand dalam acara recurve lelaki individu dan berada di tempat kesembilan daripada 350 peserta pada Kejohanan Memanah Dunia di Italy yang membolehkannya menempah tiket ke Olimpik London pada Julai ini.
Bryan Nickson pula menduduki tempat keempat pada Terbuka Canada dalam acara 10m Platform individu dan beraksi di peringkat separuh akhir Grand Prix Jerman dalam acara yang sama.
Bagi calon Olahragawati, Nicol dicabar Nur Suryani Muhamed (menembak), Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Pandelela Rinong (terjun).
Di sepanjang 2011, Nicol menjuarai lapan kejohanan utama skuasy dunia termasuk Terbuka Dunia di Belanda manakala saingan terdekatnya Pandelela meraih perak dalam acara 10m Platform individu di Siri Pertama Kejohanan Dunia di Rusia dan gangsa dalam acara sama pada Siri Kedua kejohanan yang sama di China.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment