Thursday 7 February 2013

Paulus Serapkan Skill Indonesia Kpd Pemain Negara


Tan Kim Her mempunyai alasan tersendiri apabila bagi tgjwb Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kepada Paulus Firman.

Kim Her berkata, beliau mahu bekas jurulatih skuad Indonesia itu menerapkan corak taktikal negara tersebut kepada Kien Keat-Boon Heong termasuk barisan pemain beregu negara yang lain.

“Kita tahu, China, Korea Selatan dan Indonesia memiliki pasangan beregu yang kuat. Ketiga- tiga negara tersebut juga memiliki corak permainan yang berbeza.

“Seperti China dan Korea, mereka memang menerapkan corak permainan yang agresif dalam setiap perlawanan. Namun, Indonesia mereka lebih kepada taktikal dan corak permainan yang lembut.

“Malaysia pula berada di tengah-tengah. Ada kekuatan tersendiri dan ada kelembutannya.

“Sebab itu, saya mahu Paulus menerapkan corak permainan Indonesia kepada pemain-pemain beregu negara,” kata Kim Her ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Selain Kien Keat-Boon Heong, Paulus turut diberi tanggungjawab untuk melatih dua lagi gandingan beregu lelaki iaitu Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Mohd. Lutfi Zaim Abdul Khalid- Tan Wee Gieen.

Paulus berdepan tugas mencabar dengan tanggungjawabnya melatih Kien Keat-Boon Heong selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran kepada beregu utama negara itu untuk mara ke final Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos depan.

“Saya sudah lama kenal Paulus. Apa yang saya lihat, dia mempunyai pendirian yang tetap selain seorang jurulatih yang boleh memahami situasi dialami pemain-pemain di bawah kendalian- nya.

“Ketika beliau menjadi jurulatih di Indonesia, para pemain sangat menghormati Paulus.

“Kita kena sedar bahawa tugas jurulatih bukan sekadar melatih pemain sahaja. Sebaliknya, jurulatih itu perlu tahu keadaan serta perasaan pemain dan makan minum mereka.

“Dengan sikap Paulus ini, para pemain tidak akan berasa keseorangan kerana mereka tahu ada tempat untuk meluahkan apa yang mereka inginkan. Saya percaya, Kien Keat-Boon Heong dapat menyesuaikan diri dengan Paulus,” kata Kim Her.

Ditanya mengenai penerimaan Kien Keat-Boon Heong terhadap kehadiran Paulus yang bakal melatih beregu No. 2 dunia itu, Kim Her berkata: “Saya sudah bercakap mengenai hal ini dengan mereka.

“Kien Keat-Boon Heong sangat positif dan sedia untuk bekerjasama dengan Paulus.”

No comments:

Post a Comment