Saturday 29 September 2012

Arif Dikecewakan Dionysius



KECEMERLANGAN Mohd Arif Latif dalam set kedua masih tidak mampu membantunya melakar kejutan ke atas pilihan keempat, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia apabila tewas di suku akhir GP Emas Terbuka Indonesia semalam.

Kedua-dua pemain itu belum pernah bertemu menyebabkan Arif agak berhati-hati dalam set pertama hingga menyebabkannya tewas 10-21.

Namun dia bangkit dengan cemerlang pada set kedua apabila menundukkan Dionysius 21-8.
Selepas masing-masing mengenali rentak permainan lawan, set penentuan berlangsung sengit.

Meskipun saling mengejar mata, Arif yang berada di ranking ke-52 dunia tidak mampu menundukkan Dionysius apabila tunduk 20-22 dalam tempoh 49 minit.

Kekalahan Arif itu bermakna tiada lagi wakil Malaysia di kejohanan itu

Thursday 27 September 2012

Zulfadli Tunjuk Kemampuan



BINTANG remaja negara diketuai juara Remaja Dunia, Zulfadli Zulkifli menepati ramalan mara ke pusingan ketiga GP Emas Terbuka Indonesia, hari ini.

Pemain KLRC itu mengatasi pemain tuan rumah, Febriyan Irvannaldy 21-16, 21-8 untuk berdepan seorang lagi pemain Indonesia, Yunus Alamsyah.

Kecemerlangan perseorangan negara terus dilakar pemain Projek 2016, Mohd Arif Latif, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat.

Arif menewaskan Arif Ramadhan dari Indonesia 21-19, 21-19 dan akan berdepan pemain kelayakan dari China, Kai Guo manakala Iskandar mengatasi Siswanto 21-13, 21-19, untuk bertemu lawan getir, iaitu pilihan keempat tuan rumah, Dionysius Hayom Rumbaka.

Ramdan juga berpeluang melakar kejutan ke atas pemain ternama dunia apabila dijadual menentang Sho Sasaki dari Jepun selepas dia menewaskan pemain tuan rumah, Senatria Agus Setia Putra 21-11, 21-14.

Soon Huat yang menundukkan Reksy Aureza Megananda (Indonesia) 21-13, 21-17, bakal berdepan pilihan ketiga, Tommy Sugiarto yang juga pemain tuan rumah.

Pusingan kedua perseorangan wanita hari ini akan berlangsung tanpa kelibat pemain negara selepas Sonia Cheah dan Yang Li Lian tewas kepada lawan masing-masing.

Bagi beregu lelaki hanya tinggal Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang untuk membawa cabaran negara apabila mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata 21-16, 21-15.
Mereka akan menentang pemain tuan rumah, Hafiz Faisal-Putra Eka Rhoma.

Pasangan lain, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han, Nelson Heg-Teo Ee Yi, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pula masing masing tewas kepada pemain tuan rumah kurang ternama.

Lebih memeritkan apabila pilihan keenam yang juga pasangan berpengalaman KLRC, Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari tersingkir kepada gandingan Indonesia, Rahmat Adianto-Angriawan Berry 20-22, 21-18, 21-23.

Akademi Badminton AirAsia (AABA) Di Lancar



PENERAJU syarikat penerbangan tambah murah, AirAsia Berhad mengambil langkah proaktif mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei untuk sukan badminton negara apabila melancarkan Akademi Badminton AirAsia (AABA) yang memulakan operasi pada 1 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai langkah permulaan, tiga pusat akademi dibuka bulan depan.

“Akademi terbabit di Petaling Jaya dan Kepong yang mempunyai 16 gelanggang manakala di Klang, 13 gelanggang yang membabitkan 120 pelajar berusia 12 tahun ke atas,” kata Tony di Akademi AABA, Petaling Jaya semalam.

AirAsia nampaknya serius menubuhkan akademi bagi membantu menyediakan bakat badminton negara apabila melantik empat jurulatih, membabitkan bekas pemain kebangsaan yang berdaftar di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Jason Lim, Bradon Lee, Guang Ming dan Winnie Lee.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi AirAsia Berhad Datuk Aziz Bakar, CEO Aireen Omar dan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai.

Sesi latihan akademi terbabit berlangsung dua sesi iaitu jam 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 3 petang hingga 5 petang pada setiap hujung minggu dengan setiap pelajar dikenakan yuran RM120.

Keputusan Adil



KEPUTUSAN mengekalkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dianggap adil selepas mendengar keluhan kedua-dua pemain itu sendiri, mendapatkan pandangan pihak pengurusan, jurulatih, awam serta pemain lain, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai.

Kenyataan Chin Chai itu adalah jawapan kepada keluhan rasa Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong tiga hari lalu, yang menyatakan Kien Keat-Boon Heong boleh bertahan sehingga Olimpik 2020 andai hanya ditetapkan sasaran mara ke final.

“Saya rasa keputusan itu adil selepas kami berbincang dengan pemain. Malah keputusan itu juga diputuskan barisan Exco yang memberi peluang kepada pasangan terbabit hingga Kejohanan Dunia. 

Jika berjaya, mereka akan terus bersama dan kalau gagal menepati sasaran (final), mungkin kita pisahkan mereka,” kata Chin Chai yang ditemui pada Majlis Pelancaran Akademi Badminton Air Asia di Petaling Jaya.

Menurut Chin Chai, apa yang berlaku di Terbuka Jepun ketika Kien Keat-Boon Heong tewas kepada pemain Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang adalah disebabkan mereka tidak mengikuti latihan intensif.

“Olimpik baru habis, mereka tidak sempat mengikuti latihan intensif dan pada masa sama beregu Korea itu memang tidak dinafikan bagus.

“Bagi saya, apabila mereka layak ke final, itu sudah menunjukkan yang mereka masih bagus.
“Ketika ini BAM masih tercari-cari kaedah latihan intensif sesuai dengan mereka. Kita tidak perlu bimbang, Sukan Olimpik masih jauh dan kita masih ada masa melakukan eksperimen ke atas setiap gandingan. Bagi Kien Keat-Boon Heong, mereka ada masa setahun lagi, kita tengok macam mana prestasi mereka,” kata Chin Chai.

Beliau juga menegaskan tiada jaminan skuad negara mempunyai gandingan yang lebih baik jika Kien Keat-Boon Heong dipisahkan.

Sunday 23 September 2012

Sekitar perkahwinan SuperDan-23/9/12

Dengan rasminya SuperDan telah berkahwin dgn gadis pilihannya XieXingFang pada 23/9/2012...patut la kem china xjoin game Japan Open 2012, ade agenda lain rupanye..kat sini ak hidangkan kat korang gambar2 sekitar prkahwinan Hero badminton China ni,enjoyy...