Tuesday 4 September 2012

GANDINGAN REGU UTAMA LELAKI MASIH RELEVAN


"MEREKA (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) harus dikekalkan sebagai pasangan beregu lelaki negara."

Itu cadangan yang akan dibentangkan oleh jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sabtu ini.

Cheh Chang berkata, berdasarkan prestasi Kien Keat-Boon Heong yang mara sehingga ke separuh akhir Sukan Olimpik 2012 di London bulan lalu, gandingan itu masih mampu menghadirkan kejayaan buat negara sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun lagi.

"Apa yang saya akan lakukan adalah memberi penjelasan menyeluruh kepada CTC mengenai situasi sebenar yang dialami oleh Kien Keat-Boon Heong sepanjang Sukan Olimpik di London.

"Ia termasuk prestasi mereka dalam setiap perlawanan dan apa yang mereka lalui sepanjang persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik terutama ketika menjalani latihan di Universiti of Bath di United Kingdom.

"Saya mahu CTC mendapat gambaran sebenar mengenai hal tersebut sebelum membuat sebarang keputusan sama ada memecahkan gandingan mereka atau sebaliknya," kata Cheh Chang ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, Kien Keat-Boon Heong telah mempamerkan banyak peningkatan bermula dari Terbuka Indonesia iaitu kejohanan terakhir yang disertai pasangan tersebut sebelum Sukan Olimpik dan sepanjang temasya di London itu.

"Jika mereka tidak ada kesungguhan untuk mempamerkan peningkatan, macam mana mereka boleh layak sehingga ke separuh akhir?

"Saya sebagai jurulatih saya tahu apa yang mereka lalui. Lagipun, saya lihat mereka kini berada pada landasan yang tepat untuk kembali ke tahap prestasi sebenar mereka seperti sebelum ini.

"Berdasarkan situasi itu, saya berpendapat mereka masih boleh dikekalkan sebagai pasangan beregu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Namun, untuk tempoh dua tahun selepas itu, saya tidak boleh memberi jaminan," jelas Cheh Chang.

Bagaimanapun, Cheh Chang tidak menolak kemungkinan bahawa Kien Keat-Boon Heong masih boleh beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Apa yang menjadi masalah untuk menyaksikan mereka beraksi pada Sukan Olimpik 2016 adalah faktor usia. Ketika itu nanti, Kien Keat akan berusia 31 tahun dan Boon Heong 29 tahun.

"Namun, jika kita lihat pemain seperti Cai Yun (China), dia masih beraksi pada Sukan Olimpik di London biarpun berusia 31 tahun dan begitu juga Jung Jae Sung (Korea Selatan).

"Jadi, tidak ada sebab Kien Keat-Boon Heong tidak boleh melakukannya. Jika mereka boleh menjaga tahap kecergasan tubuh badan mereka, tidak mustahil mereka boleh beraksi pada Sukan Olimpik 2016.

"Cuma, saya tidak boleh untuk memberi jaminan. Apa-apa boleh terjadi di luar jangkaan kita terutamanya masalah kecederaan. Tidak ada siapa pun yang meramalkan bila mereka akan mengalami kecederaan," ujar Cheh Chang.

No comments:

Post a Comment