Thursday 27 September 2012

Akademi Badminton AirAsia (AABA) Di Lancar



PENERAJU syarikat penerbangan tambah murah, AirAsia Berhad mengambil langkah proaktif mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei untuk sukan badminton negara apabila melancarkan Akademi Badminton AirAsia (AABA) yang memulakan operasi pada 1 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai langkah permulaan, tiga pusat akademi dibuka bulan depan.

“Akademi terbabit di Petaling Jaya dan Kepong yang mempunyai 16 gelanggang manakala di Klang, 13 gelanggang yang membabitkan 120 pelajar berusia 12 tahun ke atas,” kata Tony di Akademi AABA, Petaling Jaya semalam.

AirAsia nampaknya serius menubuhkan akademi bagi membantu menyediakan bakat badminton negara apabila melantik empat jurulatih, membabitkan bekas pemain kebangsaan yang berdaftar di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Jason Lim, Bradon Lee, Guang Ming dan Winnie Lee.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi AirAsia Berhad Datuk Aziz Bakar, CEO Aireen Omar dan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai.

Sesi latihan akademi terbabit berlangsung dua sesi iaitu jam 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 3 petang hingga 5 petang pada setiap hujung minggu dengan setiap pelajar dikenakan yuran RM120.

No comments:

Post a Comment