Saturday 1 September 2012

SHABERY BIDAS BAM


MASIH terlalu awal untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan mengenai senarai calon berpotensi menggantikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai keputusan BAM tidak menyenaraikan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli dalam senarai calon untuk program ke Rio de Janeiro.

Katanya, BAM perlu lebih terbuka dalam isu pemilihan pemain dengan memberi lebih ruang dan pendedahan yang sama kepada pemain muda.

Menurutnya, dalam tempoh empat tahun sebelum menjelangnya Sukan Olimpik Rio, pasti ada bakat-bakat muda yang mungkin berpotensi mewakili Malaysia ke sukan paling berprestij itu.

“BAM tidak boleh terus tutup pintu untuk pemain muda yang berbakat seperti Zulfadli atau mana-mana pemain lain. Pemain muda ini jika diberi lebih pendedahan pasti akan lebih menyerlah.

“Kita jangan takut untuk menerima kekalahan pada pusingan pertama jika hantar pemain muda dan tidak berpengalaman kerana itu semua yang membolehkan mereka terdedah dan bersedia menggalas cabaran apabila diperlukan,” kata Ahmad Shabery.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Zulfadli yang tiada dalam senarai BAM untuk program ke Rio de Janeiro.

Sebelum ini, BAM hanya menyenaraikan Chan Kong Deng, Liew Daren, Chong Wei Feng, Muhammad Arif Abdul Latif dan Misbun Ramdan Misbun sebagai calon berpotensi menggantikan Chong Wei.

Menurut Ahmad Shabery, semua persatuan sukan perlu lebih terbuka dan mempunyai pelan yang terancang dalam usaha membangunkan sukan tanah air.

“Sikap terbuka dan perancangan teliti inilah yang akan memajukan sukan tanah air,” katanya.

No comments:

Post a Comment