Monday 10 September 2012

HASIL MESYUARAT C&T ENGGAN DI DEDAH


BANYAK lagi hasil mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dipengerusikan Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai kelmarin, tidak didedahkan kepada media, termasuk kemelut sebenar yang mereka bimbangkan jika memisahkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Seorang ahli C&T yang berada dalam mesyuarat itu berkata ada pegawai tertinggi BAM yang berat hati untuk memisahkan gandingan Kien Keat-Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah kerana bimbang gandingan profesional Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari yang bernaung di bawah KLRC, muncul beregu terbaik negara dalam ranking dunia.

“Rancangan asal mahu gandingkan Boon Heong dengan V Shem manakala Kien Keat belum ada cadangan untuk digandingkan sehingga pemain itu bimbang akan masa depannya. Malah BAM bimbang pemain profesional (Zakry-Fairuzizuan) berada di ranking lebih tinggi berbanding pemain mereka,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, nama Zulfadli Zulkifli ada di sebut Chin Chai dalam projek 2016, namun wakil Pulau Pinang dan Kedah membantah sehingga menyebabkan Chin Chai akur, hanya Iskandar Zulkarnain dan Misbun Ramdan Misbun saja diletakkan dalam program pemain senior.

Tindakan BAM ini menampakkan sejauh mana mereka ikhlas dan benar-benar mahu menaikkan sukan badminton demi negara, seperti yang sering dilaungkan oleh presiden hingga ke kakitangan badan itu.

Apa salahnya jika bertegas mencuba percaturan gandingan baru dengan sasaran jangka pendek di Kejohanan Dunia tahun depan serta Olimpik Rio, empat tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment