Tuesday 30 April 2013

Hafiz Ditaja Protech

Kerjaya Muhd Hafiz Hashim sebagai pemain badminton belum berakhir biarpun kontraknya dengan KLRC dan Li Ning sudah tamat, apabila Absolute Protech Sport (M) Sdn Bhd tampil menajanya semalam.

Penajaan yang dianggarkan lebih RM300,000 setahun selama dua tahun itu, bukan hanya mengubati keresahan Hafiz yang tidak bernaung dengan mana-mana kelab mahupun tanpa ikatan penaja, malah meningkatkan semula semangatnya untuk meneruskan cita-cita menambah koleksi kejuaraan antarabangsa.

“Saya gembira kerana Protech sedia menaja kerana saya masih mahukan kemenangan. Saya tahu sukar untuk kembali akibat lebih enam bulan berehat selepas menjalani pembedahan tendon buku lali, namun saya masih mempunyai keazaman untuk menempah kejayaan. Sudah lama tidak mengecapi nikmat kejuaraan,” kata Hafiz selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Absolute Protech Sports di Kelab Golf Kota Permai, Kota Kemuning, semalam.

Pengarah Urusan Absolute Protech Sports, Ronnie Chong berkata, pihaknya amat gembira apabila Hafiz menyatakan persetujuan memilih mereka sebagai penaja.

“Bukan senang untuk mendapatkan Hafiz sebenarnya. Kali pertama kami cuba mendapatkannya, dia mahu mencuba kasut kami dulu, kemudian raket. Ternyata syarat yang keutamaannya berjaya kami sempurnakan.

“Malah cawangan kami di luar negara turut gembira apabila mendengar berita Hafiz sudah menyertai kami,” kata Ronnie.

Absolute Protech Sports bukan sekadar menaja Hafiz dari segi barangan sukan dan jersi, malah menaja beberapa kos perjalanannya menyertai kejohanan antarabangsa.

“Di Malaysia, bagi saya Hafiz masih yang terbaik selain Chong Wei, dia memiliki skil yang amat tinggi. Belum ada pemain muda mampu mengatasi skil dan teknik yang dimilikinya,” kata Ronnie.

Duta Protech, Tan Kim Her yang juga ketua jurulatih beregu lelaki negara turut hadir.

Bagi Hafiz yang kini berada di ranking ke-60 dunia, dia perlu menyertai kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa sebelum ke GP Emas dan akhirnya memasuki semula Siri Super, untuk memperbaiki ranking dalam kelompok 30 pemain terbaik.-METRO

No comments:

Post a Comment