Wednesday 17 April 2013

Majlis Anugerah Sukan Negara 2012

Datuk Lee Chong Wei dan Pandalela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2012 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya malam tadi.

Kejayaan Chong Wei, 30, dan Pandelela, 19, menyumbang kilauan pingat pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London ternyata menjadi pencapaian cemerlang buat kedua-dua atlet negara berkelas dunia itu.

Untuk rekod, gelaran ini adalah yang kedua buat Pandalela selepas memenanginya pada 2011 manakala bagi Chong Wei yang baru mendapat berita gembira bergelar bapa pada minggu lepas, pernah memenanginya pada 2011, 2008 dan 2005.

Antara atlet lain yang turut dicalonkan untuk kategori Olahragawan 2012 ialah Muhd. Syafiq Ridhwan (boling), Bryan Nickson Lomas (terjun), Ricky Leong Tze Wai (karate), Sazali Samad (bina badan), Khairul Anuar Muhammad (memanah) dan Yu Peng Kwan (lawan pedang).

Calon bagi kategori Olahragawati 2012 pula adalah Nicol Ann David (skuasy), Nur Suryani Muhd. Taibi (menembak), Cheah Mei Lan (boling), Chai Fong Ying (wushu), Quzandria Nur Muhd. Fathil (ekuestrian) dan Fatehah Mustapa (basikal).

Selaku pemenang anugerah tersebut, Chong Wei dan Pandalela membawa pulang wang berjumlah RM20,000 setiap seorang bersama trofi iringan.

Sementara itu, pasukan hoki remaja Malaysia (projek 2013) pula dinobatkan Pasukan Lelaki Kebangsaan Terbaik selepas menjuarai Piala Remaja Asia 2012 di Melaka manakala pasukan skuasy wanita yang dibarisi Nicol, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold dan Siti Munirah Jusoh dinobatkan Pasukan Wanita Kebangsaan 2012.

Jurulatih perseorangan badminton negara, Abdul Rashid Mohd. Sidek (gambar) pula muncul Jurulatih Lelaki Kebangsaan namun bagi Jurulatih Wanita Kebangsaan tiada pemenang diumumkan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan pegawai pembangunan bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Datuk Seri Paul Mony Samuel pula diberi anugerah Kepimpinan Sukan atas sumbangan besar mereka dalam sukan negara.

Pelumba Moto3 negara yang beraksi bersama pasukan Red Bull KTM Ajo pula diberi anugerah khas bersama-sama atlet angkat berat berusia 78 tahun, Ng. Chow Seng.

Turut mencemar duli pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

No comments:

Post a Comment