Wednesday 18 April 2012

ChOnG wEi & PanDaLelA AtlEt TeRbaEKkK 2011

JAGUH badminton, Datuk Lee Chong Wei dan penerjun cilik negara, Pandelela Rinong masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011. Kedua-dua anugerah tertinggi itu telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2011 yang berlangsung di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor malam tadi. Selaku penerima anugerah berprestij itu, Chong Wei dan Pandelela masing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM20,000. Bagi Chong Wei, ia merupakan gelaran ketiga buatnya selepas memenangi anugerah yang sama pada 2005 dan 2008. Pemain kelahiran Pulau Pinang itu membuktikan betapa dia layak bergelar Olahragawan Kebangsaan 2011 berdasarkan pencapaian cemerlangnya sepanjang tahun lalu. Antara pencapaian terbaik yang dilakar Chong Wei, 30, ialah meraih gelaran kali kedua berturut-turut pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2011. Chong Wei turut bergelar juara Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia, Final Siri Super di Taiwan dan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia. Selain itu, Chong Wei muncul selaku naib juara Kejohanan Dunia 2011 di London dan Terbuka Korea Selatan. Paling membanggakan, Chong Wei berjaya mempertahankan kedudukannya selaku pemain No. 1 dunia selama 40 bulan sejak 2008 sehingga kini. Sementara itu, Pandelela, 19, pula mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan selaku Olahragawati Kebangsaan buat kali pertama dalam kariernya. Diletakkan sebagai antara prospek utama meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London, anak jati kelahiran Bau, Sarawak itu ternyata berada di landasan terbaik bagi merealisasikan matlamat tersebut berdasarkan pencapaiannya sepanjang tahun lalu. Antara pencapaian yang dilakar Pandelela ialah memenangi pingat perak dalam acara 10 meter platform pada Kejohanan Terjun Dunia FINA Siri 1 di Moscow, Rusia dan pingat gangsa Siri 2 di Beijing, China. Dia turut menyambar pingat perak serta gangsa dalam acara 10m platform dan 10m berirama pada temasya Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Shenzen, China. Pandelela juga memenangi pingat emas dalam acara 10m platform pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

No comments:

Post a Comment