Pages
▼
Friday, 31 August 2012
PELUANG MASIH ADA BUAT ZULFADLI
PELUANG untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik Rio di Brazil pada 2016 masih terbuka buat pemain perseorangan negara, Zulfadli Zulkifli.
Dia yang tidak disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam senarai calon berpotensi menggantikan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei ke temasya tersebut dilihat masih berpeluang untuk mengikuti program ke Rio de Janeiro dengan menggunakan pengaruh Majlis Sukan Negara (MSN).
Pengarah Cawangan Atlet Elit Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Ghani berkata, sebarang program melibatkan latihan atlet negara, seperti persediaan ke Olimpik, merupakan kerjasama dua hala antara badan itu dan persatuan sukan.
“Kebiasaannya kita akan duduk bersama untuk berbincang dengan BAM tentang perancangan masa depan membabitkan atlet.
“Bagaimanapun, buat masa ini kita sedang menunggu BAM untuk ‘settle down’ dahulu dan saya difahamkan mereka akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.
“Selepas itu barulah kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama mereka,” katanya semalam.
Bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Zulfadli, 19, merupakan bekas juara remaja dunia dan kini menduduki ranking ke-81 carta perseorangan lelaki Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Thursday, 30 August 2012
IKUT CARA LCW
SUDAH tiba masanya barisan pemain muda menuntut ilmu daripada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock berkata, setiap pemain muda negara harus menggunakan kesempatan yang ada bagi meningkatkan lagi tahap prestasi mereka dengan menimba ilmu daripada Chong Wei.
"Chong Wei kini sudah tidak sibuk seperti dahulu yang mana dia perlu fokus bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik 2012. Jadi, ini adalah masa terbaik buat pemain-pemain muda negara belajar sesuatu daripada Chong Wei.
"Lagipun, sebelum ini pemain-pemain muda inilah yang banyak membantu Chong Wei dengan menjadi rakan-rakan sepelatihnya.
"Kini, Chong Wei mungkin boleh membalas kembali pertolongan pemain- pemain muda dengan berkongsi pengalaman dengan mereka terutama untuk menjadikan mereka pemain bertaraf dunia," kata Seu Bock.
Menurut beliau, antara pemain paling utama yang perlu menggunakan peluang tersebut ialah Liew Daren.
Katanya, Daren meru- pakan pemain yang hampir menyamai corak permainan yang dimiliki oleh Chong Wei.
"Daren memang ada potensi besar. Cuma dia tidak memiliki konsistensi dalam permainannya.
"Apa yang saya lihat, corak permainan Daren hampir sama dengan Chong Wei. Jadi, dia boleh bertanya kepada Chong Wei bagaimana untuk menjadi lebih konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.
"Daren mempunyai masalah untuk membuat keputusan dalam perlawanan. Ada ketika dia hilang fokus sehingga tidak tahu bagaimana mahu merencanakan corak permainannya.
"Justeru, mungkin Chong Wei boleh bantu dia untuk mengajar cara terbaik bagi merencanakan corak permainannya terutama dalam membuat serangan ke atas pihak lawan.
"Daren juga boleh bela- jar daripada Chong Wei bagaimana cara untuk menguatkan mentalnya. Ini kerana, dia memang ada masalah dari aspek kekuatan mental," jelas Seu Bock.
Ketika ini, Daren yang menghuni ranking ke-26 dunia merupakan pemain kedua terbaik negara sele- pas Chong Wei.
Bagaimanapun, dia masih gagal mengangkat diri- nya sebagai calon paling layak menggantikan tempat Chong Wei andai pemain No. 2 dunia itu bersara.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Daren tahun ini ialah mara ke peringkat suku akhir Seluruh England pada Mac lalu.
Selain Daren, antara pemain muda negara yang dilibat bakal menyinar suatu hari nanti ialah Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Misbun Ramdan Misbun, Loh Wei Sheng dan Chong Wei Feng.
Wednesday, 29 August 2012
POLISH OPEN 2012
Polish Open 2012
Week: 35
Category: International Series
City: Lubin
Country: POL
Prize money: USD 5000
Website: http://www.polish-open.pl
VENEZUELA OPEN 2012
Venuzuela Open International 2012
Week: 35
Category: Future Series
City: Poli -deprotive Las Delicias
Country: VEN
Website: http://www.fevebadminton.com
CHONG WEI TIPS 5 SINGLE SHUTTLERS TO BE TOP STARS
Lee Chong Wei has named five singles shuttlers who have the potential to be top players. They are Chan Kwong Beng, Liew Daren, Chong Wei Feng, Mohd Arif Abdul Latif and Misbun Ramdan.
The world No. 2 singles star, however, conceded that the Badminton Association of Malaysia (BAM) face a tough task in finding his successor.
“Even China have difficulty trying to find a ‘second’ Lin Dan despite having a population of more than one billion while Malaysia only have a population of 28 million,” Chong Wei told a press conference before a meet-the-fans session at KDU College in Penang yesterday.
“Indonesia and Denmark also find it hard to replace Taufik Hidayat and Peter-Gade Christensen.”
Chong Wei was asked to comment on a report in a Malay daily on Sunday which stated that a replacement for him has yet to be found. He said more junior players would be sent to overseas tournaments to acquire experience.
Chong Wei also said he hoped to attend Lin Dan’s wedding in China next month but was not sure if he would be able to make it as he will be competing in the Japan Open in Tokyo from Sept 18-23.
“I’m hoping for an early final so I can fly from Tokyo to Beijing,” he said.
*Zulfadli camane??ak rase dia lg hebat brbnding dak2 yag LCW senaraikan tuh...ke sebb zulfdli brnaung d bwah kelab len??tu pasal namanya tak d senarikan oleh LCW??emmm...
"SAYA TAK TERKILAN"-KAH MING
Chooi Kah Ming(Kanan) |
Kah Ming, 21, berkata, biarpun menghadiahkan pingat emas dalam acara beregu campuran pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Julai lalu, dia menerima keputusan badan induk badminton itu yang memintanya memberi tumpuan kepada beregu lelaki, dengan hati terbuka.
“Sebagai pemain pelapis, saya sedia memberikan yang terbaik buat negara dan saya akan balas kepercayaan jurulatih yang mahukan saya bermain dalam acara beregu lelaki.
“Pada Sukma lalu, Persatuan Badminton Pahang (PBP) menggandingkan saya dengan Lai Pei Jing bagi meraih pingat dan kami berjaya menunaikan tanggungjawab itu,” katanya semalam.
Skuad badminton Pahang meraih satu pingat emas dalam acara beregu campuran hasil gandingan Kah Ming-Pei Jing dan ia menjadi pencapaian terbaik negeri itu sepanjang penganjuran Sukma.
Kejayaan dua pemain itu membuktikan Pahang mampu melahirkan pemain berwibawa.
Dalam perkembangan terbaru, Kah Ming yang bergandingan dengan Ow Yao Han, 20, dari Melaka kini dalam persiapan menghadapi Kejohanan GP Emas Indonesia bermula 21 September depan.
Menurutnya, sasaran mereka ialah untuk mencatat kejayaan terbaik biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi terutama daripada pemain tuan rumah sendiri.
“Saya difahamkan kejohanan ini bukan saja disertai pemain senior dan berpengalaman, malah pemain pelapis. Sama ada pemain China turut serta pada kejohanan itu tidak dapat dipastikan.
“Bagaimanapun, saya dan Yao Han sudah bersedia untuk mempamerkan permainan mantap dan bertenaga,” katanya yang kini menjalani latihan intensif di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
BEREGU CAMPURAN KIAN MATANG
JEREMY Gan yakin rancangannya membentuk gandingan beregu campuran bertaraf dunia kini berada di landasan tepat selepas gandingan muda Tan Aik Quan-Lai Pei Jing muncul naib juara Terbuka Vietnam Ahad lalu, malah beliau kini dalam proses mengangkat satu lagi gandingan baru iaitu Wong Fai Yin-Shevon Lai.
Jurulatih beregu campuran itu berkata beliau berharap Aik Quan-Pei Jing cepat menemui kematangan dalam permainan bagi memberi tekanan kepada gandingan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, sekali gus menyaksikan persaingan sihat dalam kem negara.
“Perkembangan ini memang bagus tapi terlalu banyak lagi yang perlu diperbaiki Aik Qua-Pei Jing. Buat masa ini saya nampak mereka akan menjadi gandingan kedua di belakang Peng Soon-Liu Ying tapi belum cukup ilmu untuk bergelar gandingan bertaraf dunia,” kata Jeremy.
Pada aksi final kelmarin, gandingan itu tewas kepada pasangan Indonesia, Markis Kido-Pia Zebadiah Bernadeth buat kali pertama dalam dua pertemuan.
“Saya tidak mengikut mereka ke Vietnam, tapi saya tahu mereka kurang pengalaman beraksi di tahap tertinggi seperti perlawanan akhir. Sebelum ini mereka pernah menewaskan gandingan Indonesia itu di Terbuka Malaysia, jadi banyak lagi yang perlu mereka pelajari terutamanya dalam aspek ketahanan mental.
“Mereka akan sertai empat hingga lima lagi kejohanan dalam tahun ini, tapi tidak semuanya setaraf dengan Peng Soon-Liu Ying. Mereka masih baru jadi mereka perlu menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf GP Emas dan cuba mendapatkan keputusan terbaik seperti separuh akhir, final ataupun meraih gelaran.
“Jika mereka terus beraksi di kejohanan Siri Super, semangat mereka mungkin berkubur kerana sering tewas di peringkat awal kerana ramai gandingan terbaik dunia mengambil bahagian.” Antara kejohanan yang akan disertai Aik Quan-Pei Jing selepas ini adalah Siri Super Terbuka Jepun, GP Emas Terbuka Taiwan, Korea, Macau dan beberapa lagi kejohanan lain.
Jeremy turut berpuas hati dengan pencapaian gandingan senior Ong Jien Guo-Lim Yin Loo yang mara ke separuh akhir di Vietnam.
“Gandingan ini bukan baru, jadi prestasi di Vietnam menunjukkan sedikit peningkatan namun saya tidak boleh letakkan mereka dalam perancangan jangka panjang kerana masing-masing sudah berusia 23 dan 24 tahun. Mereka sepatutnya melakar kejayaan lebih besar,” kata Jeremy lagi.
Dalam pada itu, Jeremy perlu bekerja keras menaikkan satu gandingan baru Fai Yin-Shevon. Shevon sebaya Pei Jing dinaikkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sememangnya diakui berkemampuan sekiranya digilap dengan baik, namun Fai Yin memerlukan lebih banyak latihan selepas di bawa ke BAM dari Negeri Sembilan.
Tuesday, 28 August 2012
SUPERDAN INTAI HATRIK OLIMPIK 2016
Bintang badminton China, Lin Dan menafikan sebarang rancangan untuk bersara, sebaliknya menyatakan dia mungkin mempertimbangkan matlamat memburu gelaran ketiga Olimpik berturut-turut pada 2016.
'Super Dan', 28, dijangka bersara tidak lama lagi selepas dia menjadi pemain lelaki pertama untuk mempertahankan pingat emas Olimpik di London awal bulan ini.
Namun Lin, yang disifatkan sebagai antara atlet terulung dunia sepanjang zaman, memberitahu dia cuma mahu berehat selepas tamat Olimpik dan hari ini, dia sedia kembali beraksi dalam kancah liga badminton tempatan China.
"Saya tidak pernah cakap saya bakal bersara. Apa yang saya kata ialah saya ingin berehat seketika.
"Saya harap dapat menetapkan matlamat baru sepanjang tempoh berehat, di samping menyelaras kembali keadaan fizikal saya," kata pemain No.1 dunia itu.
Lin menewaskan seteru utama, Datuk Lee Chong Wei dalam final ulangan Olimpik di London. Chon Wei juga tidak menolak kemungkinan akan meneruskan aksi sehingga Rio de Janeiro 2016.
"Jika musuh saya mampu melakukannya sehingga ke Olimpik Rio, maka saya juga cuba melakukannya," ujar Lin.
Kejayaan Lin mempertahankan kejuaraannya turut membantu China menyapu bersih kesemua lima emas yang dipertandingkan buat kali pertama dalam sejarah Olimpik, meskipun dicemari skandal mengatur perlawanan melibatkan pasangan beregu wanitanya.
LCW KAHWIN TAHUN DEPAN
Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menamatkan zaman bujangnya dengan bekas pemain perseorangan badminton wanita negara, Wong Mew Choo, tahun depan.
Pemenang pingat perak Olimpik London itu berkata, beliau kini bersedia berkahwin dengan Wong yang dikenalinya sejak 2001 ketika mereka bersama-sama mengikuti kem latihan badminton negara.
Bagaimanapun, Chong Wei enggan menyatakan tarikh atau tempat yang dipilih untuk meraikan majlis bersejarah itu memandangkan semuanya masih dalam perancangan.
"Mungkin saya akan mengundur diri tahun depan kerana pertandingan penting sudah berakhir dan mula merancang memandangkan saya bukan lagi muda," katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin tahun hadapan, bagaimanapun ketika itu beliau tidak mengumumkan wanita pilihannya.
Menurutnya, beliau tidak mahu kisah cintanya itu dipandang negatif sehingga mengganggu fokus dan persiapan beliau ke Olimpik London.
"Saya dan dia (berkawan) sudah banyak tahun. Tetapi kadang-kadang saya tiada masa dan saya mahu fokus pada karier dan biasalah kadang-kadang kita bergaduh," akui atlet dari Pulau Pinang itu.
Mengenang kisah lampau, Chong Wei mendedahkan, beliau dan Wong pernah berpisah ketika menyertai latihan di Korea Selatan pada 2009, namun, hubungan itu terjalin semula setahun lalu.
Dalam perkembangan lain, musuh tradisi atlet itu, pemain perseorangan nombor satu dunia Lin Dan dari China juga dilapor akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan dengan bekas perseorangan wanita republik itu, Xie Xinfang bulan depan.
"BUKAN MUDAH MENCARI PEGGANTI SAYA"
"BUKAN senang nak cari pengganti saya meskipun negara mempunyai 28 juta penduduk."
Itulah reaksi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, 30, ketika ditanya mengenai calon sesuai bagi menggantikannya jika dia membuat keputusan untuk bersara kelak.
Menurut beliau, Malaysia berdepan kesukaran mencari penggantinya dan sesiapa yang dipilih nanti bukan sahaja perlu memberikan komitmen tinggi tetapi ditagih pengorbanan besar dari- pada semua pihak.
"Ramai yang bertanya mengenai isu ini dan bukan senang nak cari pengganti Chong Wei. Masalah sama turut dihadapi China untuk mencari pemain yang bakal menggantikan jaguh badminton mereka, Lin Dan.
"Indonesia juga sehingga kini masih sukar menemui pemain setanding Taufik Hidayat termasuk Denmark masih belum menemui pengganti Peter Gade," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sesi bertemu peminat di Kolej KDU, George Town, Pulau Pinang semalam.
Dalam pada itu, bekas pemain nombor satu dunia ini tetap yakin negara dapat melahirkan ramai jaguh perseorangan bagi menggantikan dirinya sekiranya banyak pendedahan serta peluang diberikan kepada pemain muda.
Antaranya seperti Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif, Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Misbun Ramdan Misbun, Loh Wei Sheng dan Chong Wei Feng.
"Saya tahu ramai yang bertanya mana calon yang lebih layak dan pasti dengan usaha BAM (Persatuan Badminton Malaysia) proses pencariannya akan dilakukan secepat mungkin.
"Antaranya dengan memberi banyak pendedahan kepada pemain muda ini dengan pelbagai kejohanan, sekali gus dapat menimba banyak pengalaman," jelas Chong Wei yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.
Dia juga muncul sebagai atlet negara yang menyumbangkan dua pingat perak pada dua temasya Olimpik berturut-turut.
Mengulas mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dengan teman wanitnya, Wong Mew Choo, Chong Wei berkata, mereka hanya menanti masa yang sesuai untuk berkahwin.
Sunday, 26 August 2012
FULL RESULT VIETNAM OPEN 2012
WD
Pia Zebadiah Bernadeth/Rizki Amelia Pradipta(IND) - Hui Ern Ng/Hui Lin Ng (MAS)
21-17,21-19
WS
Porntip Buranaprasertsuk(THA) - Lindaweni Fanetri(IND)
21-10,21-18
MD
Bodin Issara/Maneepong Jongjit(THA) - Yohanes Rendy Sugiarto/Afiat Yuris Wirawan(IND)
19-21,21-16,21-11
MS
Tien Minh Nguyen(VIT) - Takuma Ueda(JPN)
21-14,21-19
XD
Markis Kido/Pia Zebadiah Bernadeth(IND) - Aik Quan Tan/Pei Jing Lai(MAS)
23-21,21-8
Saturday, 25 August 2012
BAM PERLU BETULKAN POLISI SENDIRI
Polisi buka pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang longgar menyebabkan ramai bekas-bekas pemain mereka bebas menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, biarpun sudah bergelar profesional, kata bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim.
Kenyataan Hafiz itu menjawab teguran bendahari BAM, Datuk Lim Teong Kiat, yang sebelum ini melahirkan kebimbangannya mengenai trend pemain-pemain bebas yang berleluasa menikmati kemudahan latihan skuad kebangsaan biarpun sudah meninggalkan badan badminton itu.
Menurut Teong Kiat, mereka yang telah meninggalkan skuad kebangsaan untuk menjadi profesional sepatutnya dilarang daripada terus berbuat demikian.
Saya akan akur jika BAM tiba-tiba melarang kami daripada terus menyertai latihan mereka.
Kalau benar BAM merasakan ia telah disalahguna, maka itu adalah masalah yang diakibatkan daripada kelonggaran polisi mereka sendiri.
Sebagai pemain bebas, sudah tentu kami selesa untuk berlatih di Bukit Kiara (Stadium Juara, tempat latihan BAM) kerana kemudahan semuanya lengkap," kata Hafiz yang meninggalkan BAM awal tahun lalu dan kini bernaung di bawah kelab KLRC.
Kata Hafiz lagi, daripada pengamatannya, sebahagian pemain yang meninggalkan BAM sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya turut kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Memang ramai saya lihat berlatih di Bukit Kiara. Caranya mudah, cuma tulis surat. Pokoknya, memang mudah untuk keluar masuk. Macam saya sendiri, adakalanya saya dipelawa datang, hubungan saya dengan jurulatih seperti Rashid (Sidek) dan Hendrawan pun masih baik.
Saya fikir kehadiran saya membantu pemain-pemain muda mereka, ia juga membantu saya untuk mendapat sparring (rakan sepelatih) berkualiti. Ia adalah situasi menang-menang.
Tetapi kalau BAM ingin menghentikan polisi ini, saya akur, tiada masalah tetapi mereka harus menutup pintu kepada sesiapa sahaja yang tidak lagi bersama BAM, kena adil," ujarnya.
Sementara itu, legenda badminton negara yang juga jurulatih KLRC, Razif Sidek bersetuju dengan pandangan Teong Kiat.
Saya setuju dengan pandangan Datuk Lim (Teong Kiat). Kalau sudah keluar, keluarlah. Sebagai profesional, mereka harus bijak mengurus dan mengembangkan lagi karier sendiri.
Pemain harus tahu apa akibatnya jika menjejak kaki ke alam profesional kerana ia bermakna semua bergantung pada diri sendiri.
Saya tahu ada segelintir pemain, khususnya budak-budak kesayangan BAM, selepas keluar persatuan kembali menyertai latihan dan tidak lama kemudian menjadi sparring dan ada yang dibayar upah," kata Razif.
Bagaimanapun menurut Razif yang kini melatih bekas pasangan negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari, latihan bersama antara BAM dan kelab-kelab profesional bukan sesuatu yang negatif, malah ia wajar diadakan sekali sekala kerana kedua-dua pihak membawa kebaikan kepada pemain masing-masing.
Bagi saya, kalau sesekali memang OK tetapi bukan kerap sampai tiap-tiap hari. Semuanya terpulang pada BAM, kalau mereka rasa tiada faedah, maka janganlah libatkan pemain luar langsung.
BAM sendiri ada cukup ramai pemain pelapis untuk menjadi sparring, sebenarnya tidak perlu pun pemain luar untuk memainkan peranan itu dan kena pula bayar," jelas Razif, yang merupakan tonggak Malaysia ketika muncul juara Piala Thomas 1992.
NASIB SEU BOCK DITENTUKAN 8 SEPT 2012
STATUS Tey Seu Bock sebagai jurulatih jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 8 September ini.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, Seu Bock kini masih membimbing Chong Wei dan persatuan tidak membuat sebarang perubahan terhadap struktur kejurulatihan.
“Buat masa ini segala-galanya masih seperti sedia ada. Mungkin ada perubahan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan pada 8 September ini,” katanya.
Seu Bock kelmarin berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung kedudukannya sebagai jurulatih Chong Wei dan menyerahkan perkara itu kepada BAM untuk membuat keputusan.
Menurut Chin Chai, BAM akan melihat secara terperinci laporan jurulatih berhubung prestasi pemain pada temasya Sukan Olimpik London, baru-baru ini.
“Kami akan mengadakan mesyuarat awal bulan depan bagi mengumpul laporan daripada jurulatih dan pengurusan pasukan untuk melihat tindakan yang betul dan kesilapan yang kami lakukan,” katanya.
Chin Chai berkata BAM kini turut merangka persediaan bagi pemain menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang bakal berlangsung pada 2014
Thursday, 23 August 2012
JURULATIH ENGGAN CERITA STATUS BEREGU UTAMA LELAKI
Baik ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her mahupun jurulatih Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Pang Cheh Chang, enggan mengulas ketika soal masa depan pasangan utama negara itu ditimbulkan.
Seandainya, gandingan tersebut masih berada dalam perancangan, sudah tentu tidak sukar kedua-dua jurulatih tersebut untuk berbicara soal rancangan mereka.
Cheh Chang ketika ditanya apakah Kien Keat dan Boon Heong akan dikekalkan selepas kegagalan meraih pingat di Sukan Olimpik, sebaliknya hanya membalas: "Saya fikir sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengulas pasal Koo dan Tan.
"Maaf sangat-sangat, harap anda boleh faham situasi ini."
Kim Her pula tampak lebih diplomasi dengan memberi reaksi secara umum, termasuk persoalan benarkah pasangan itu mahu meninggalkan skuad kebangsaan.
"Saya mempunyai rancangan empat tahun (untuk Kien Keat-Boon Heong), satu jangka pendek 2014 dan satu lagi jangka panjang sehingga 2016," jawabnya ringkas.
Ketika ditanya semula apakah perancangan itu bermakna pasangan juara All England 2007 itu akan terus dikekalkan, dia menambah: "Kita tunggu dan lihat."
Mula digandingkan bekas jurulatih beregu, Rexy Mainaky pada penghujung 2006, Kien Keat-Boon Heong melakar kejutan dalam penampilan sulung mereka pada Sukan Asia 2006 apabila membawa pulang pingat emas di Doha.
Kejayaan tersebut kemudian disusuli dengan tujuh lagi kejuaraan, termasuk All-England pada tahun berikutnya.
Pada masa itu, aksi mereka berdua sentiasa menjadi tumpuan kerana dikagumi dengan corak permainan yang pantas dan menghiburkan.
Namun kecemerlangan Kien Keat-Boon Heong itu hanya bersifat sementara kerana selepas tahun gemilang itu, mereka mula menjadi sasaran kritikan ekoran prestasi tidak menentu walaupun pada 2010.
Mereka seolah-olah mendapat semula rentak dengan pencapaian pingat perak Sukan Asia Guangzhou dan Kejohanan Dunia di Paris, tetapi sekali lagi ia hanya bersifat sementara.
Dalam usaha memperbaiki karier, Kien Keat-Boon Heong akhirnya mengambil langkah drastik membuat permintaan agar Rexy ditukar dan dibimbing Cheh Chang.
Perubahan tersebut bagaimanapun tidak langsung membawa sebarang perubahan positif kepada persembahan mereka yang sebaliknya terus hambar.
Bekas pasangan No. 1 dunia itu seringkali terkandas pada pusingan awal dalam kebanyakan kejohanan yang disertai.
Di Olimpik, mereka bertandang ke London tanpa diletakkan sebarang harapan namun kejayaan mara ke separuh akhir disangka mampu menjelmakan keajaiban.
Begitupun, ia hanyalah harapan palsu apabila mereka kecundang mudah kepada juara dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng.
Dalam penentuan pingat gangsa pula, pasangan ini akur kepada beregu utama Korea, Chung Jae-sung-Lee Young-dae, walaupun satu ketika di ambang melengkapkan kemenangan set pertama.
TIADA SASARAN BUAT LCW DI TERBUKA JEPUN 2012
TIDAK ada sebarang sasaran yang diletakkan buat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada Kejo- hanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2012 di Tokyo bulan depan.
Sebaliknya, jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock mahu anak didiknya itu beraksi tanpa sebarang tekanan selepas mengerah kudrat selama empat tahun bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.
“Chong Wei tidak perlu terlalu memikirkan mengenai kejuaraan. Saya mahu dia menikmati permainannya dalam setiap kejohanan yang disertai tanpa be- rasa tertekan.
“Dia telah bekerja keras selama empat tahun sebelum ini bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2012. Jadi, sudah tiba masanya dia diberi pe- luang untuk bertenang.
“Saya tidak cakap kejuaraan tidak penting. Jika berjaya bergelar juara ia adalah bonus buat Chong Wei tetapi dia juga berhak untuk turun beraksi tanpa sebarang tekanan,” kata Seu Bock
Terdahulu, Chong Wei yang merupakan pemain No. 2 dunia, gagal mereali- sasikan impian rakyat Malaysia bagi membawa pulang pingat emas pertama buat kontinjen negara dari bumi London.
Dia terpaksa akur dengan kilauan pingat perak apabila sekali lagi tewas di tangan seteru utamanya, Lin Dan dari China pada aksi final acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012.
Ditanya sama ada Terbuka Jepun kali ini akan menjadi medan terbaik buat Chong Wei untuk membalas dendam andai Lin Dan turut mengesahkan penyertaan, Seu Bock berkata: “Saya tidak mahu Chong Wei fikir begitu.
“Malah, saya juga berasa Chong Wei tidak akan menjadikan ia sebagai medan membalas dendam. Ini kerana, baik Chong Wei mahupun Lin Dan, kedua-dua pemain itu mempunyai semangat kesu- kanan yang tinggi.
“Saya fikir, jika kedua-dua pemain itu bertemu sekali lagi, mereka akan beraksi tanpa sebarang tekanan, sebaliknya hanya menikmati perlawanan antara mereka.”
Seu Bock turut mengesahkan bahawa Chong Wei akan beraksi dalam saingan Liga Badminton China pada minggu depan.
Terbuka Jepun 2012 akan bermula pada 18 hingga 23 September nanti.
PERLU BUAT HOMEWORK
BANYAK lagi kerja perlu dilakukan jurulatih beregu campuran Jeremy Gan untuk menjadikan gandingan Chan Peng Soo-Goh Liu Ying sebagai pasangan digeruni di peringkat dunia.
Jurulatih itu berkata, saingan Olimpik London baru-baru ini menjadi medan terbaik untuk menilai tahap kematangan gandingan itu biarpun kini berada di ranking kelapan dunia.
“Mereka masih ketinggalan berbanding gandingan ternama dunia yang lain. Dalam setiap perlawanan, saya lihat mereka seperti tidak ada jawapan untuk memerangkap pemain lawan,” kata Jeremy.
Justeru, beliau kini merancang program lebih teliti terutamanya untuk membina corak permainan lebih mantap.
“Apa yang saya lihat, prestasi kedua-dua pemain masih boleh dipertingkatkan ke satu tahap lebih baik.
“Permainan mereka tidak konsisten. Dari segi kombinasi, mereka ada kerjasama yang baik namun dalam dunia badminton moden, kita tidak boleh lagi bergantung kepada seorang pemain yang kuat dalam gelanggang.
“Saya perlu pastikan mereka berada di tahap yang seimbang. Tidak boleh lagi pemain lelaki saja bagus mengawal gelanggang. Kekuatan yang ada pada kedua-dua pemain ini mesti dipertingkatkan.” Ketika ditanya ke mana hala tuju gandingan ini, beliau enggan menetapkan sasaran besar hingga ke Kejohanan Dunia tahun depan kerana baginya, lebih penting mempersiapkan gandingan ini menjadi pasangan lebih mantap.
“Saya rasa kita memang boleh tetapkan sasaran di Kejohanan Dunia kalau melatih mereka ke satu tahap lebih baik. Dengan beraksi di Olimpik sajapun, mereka sudah meraih pengalaman berharga, memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui apa yang perlu ada jika beraksi di peringkat lebih tinggi,” kata Jeremy lagi.
Peng Soon-Liu Ying yang akan beraksi di China Masters dan Terbuka Jepun, September ini memerlukan lebih banyak pengalaman untuk menjadi gandingan yang mampu mencabar kejuaraan Sukan Asia dan Komanwel dua tahun lagi.
Sementara itu, Jeremy tidak terlalu cemas untuk melahirkan seorang juara kerana menurut beliau, Malaysia tidak sampai tiga tahun serius dalam kategori beregu campuran jika hendak dibandingkan dengan China, Indonesia, Korea dan Eropah.
“Selepas ini saya tidak hanya tumpukan kepada gandingan ini sebaliknya dua lagi gandingan berpotensi. Jika ada gandingan yang sama kuat, barulah Peng Soon-Liu Ying tidak terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.” Dua gandingan yang dimaksudkan adalah Ong Jian Guo-Lim Yin Loo dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.
Jeremy pernah melahirkan juara remaja Asia Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei dan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin.
Wednesday, 22 August 2012
BAM TIDAK INTAI EMAS DI BRAZIL
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan keutamaan untuk memenangi pingat emas pertama buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Sebaliknya, badan induk sukan badminton negara itu mahu memberi fokus terhadap perancangan jangka masa panjang apabila meletakkan sasaran untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2024.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, sasaran tersebut lebih realistik kerana mereka mempunyai tempoh 12 tahun untuk melaku- kan persiapan berbanding dengan tempoh jangka masa pendek.
“Bukan kata BAM langsung tidak memberi keutamaan terhadap Sukan Olimpik 2016. BAM akan tetap melakukan perancangan ke arah itu tetapi tidak boleh memberi jaminan akan mampu menyumbangkan pingat emas.
“Dalam tempoh masa yang singkat, hanya beberapa perkara sahaja yang mampu dilakukan.
“Namun, jika ada tempoh yang panjang untuk melakukan persiapan, peluang untuk memenangi pingat emas itu pasti lebih cerah,” kata Nadzmi ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, bukan perkara yang mudah untuk mencari pemain yang benar-benar boleh diletakkan sandaran bagi memenangi pingat emas dalam tempoh jangka pendek, sekali gus menggantikan tempat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Untuk tempoh empat tahun akan datang, saya tidak fikir kita boleh jumpa pemain sehebat Chong Wei. Jika bernasib baik, mungkin kita boleh jumpa.
“Sebab itu, saya mahu bersikap realistik. Dengan 12 tahun yang ada, BAM akan melakukan perancangan rapi bagi melahirkan pemain bertaraf dunia untuk bersaing di pentas antarabangsa,” jelas Nadzmi.
Sebelum ini, BAM dikritik hebat ekoran kegagalan Chong Wei meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.
Pemain No. 2 dunia itu terpaksa akur apabila sekadar membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada seteru utamanya, Lin Dan dari China pada final acara perseorangan lelaki.
Ekoran kegagalan di London itu juga, segelintir pihak mendesak Nadzmi dan barisan kepimpinan BAM meletak jawatan bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui persatuan tersebut
RASHID CONGAK PEMAIN BERBAKAT
KESUDAHAN perjalanan Datuk Lee Chong Wei di Olimpik London tanpa membutirkan pingat emas membuatkan ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih telus mengetengahkan pemain berbakat, biarpun masih di bangku sekolah.
Meskipun Chong Wei menyuarakan kesanggupan untuk mewakili negara di Olimpik Rio empat tahun akan datang, semuanya bergantung kepada kemampuan fizikalnya dan untuk terus meletakkan harapan menggunung di bahu pemain nombor dua dunia itu semata-mata, BAM pasti berdepan risiko besar kemungkinan tidak akan ada pemain negara layak ke temasya sukan termasyhur itu.
“Sememangnya Chong Wei masih mampu bermain di Rio tapi untuk kita harapkan emas, saya rasa keadaan itu sukar kerana pada usia yang meningkat, kemampuan badannya akan merosot,” kata Rashid.
“Saya pasti jika Chong Wei terus bermain, dia akan layak ke Olimpik sekali lagi tapi kita perlu sediakan pemain muda untuk mencabar pingat emas.” Chong Wei yang bergelut untuk pulih dari kecederaan buku lali yang menimpanya pada saingan Piala Thomas, Mei lalu menunjukkan permainan hebat berdepan Lin Dan dari China pada final Olimpik tapi sayang dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Rashid berkata, tiada cara lain lagi kecuali mengetengahkan pemain muda tanpa mengira mereka dari skuad elit, pelapis mahupun dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.
“Untuk Rio, kita tiada pilihan lagi. Mahu atau tidak, kita mesti beri lebih banyak pendedahan kepada pemain berbakat, tidak kiralah mereka dari skuad elit, pelapis mahupun mereka di peringkat remaja yang masih bersekolah.
“Memang diakui pemain dalam skuad elit kita juga masih terlalu jauh standard berbanding Chong Wei tapi kami perlu alihkan tumpuan meningkatkan kualiti pemain muda.
“Jika ada di kalangan pemain berusia 17 atau 18 tahun sekalipun, kita mesti beri peluang sama rata untuk mereka buktikan kemampuan melayakkan diri ke Olimpik. “Lagi awal pendedahan diberi, lagi cepat pemain matang,” kata Rashid lagi.
Ketika ini, barisan pemain yang berada di skuad elit seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng menunjukkan sedikit peningkatan manakala Chan Kwong Beng tidak senasib mereka.
Pemain pelapis seperti Muhd Arif Latif pula bergelut untuk membuktikan kemampuan ketika Misbun Ramdan Misbun dan Iskandar Zulkarnain mempamerkan semangat juang tinggi apabila diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.
Selain pemain yang bernaung di BAM, Zulfadli Zulkifli, 19, dari KLRC seharusnya mendapat sokongan penuh daripada badan induk badminton negara jika mereka benar-benar mahu melihat percambahan pemain sehebat China berlaku di negara ini.
DILEMA SEU BOCK
HAMPIR dua tahun Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek terpisah dengan restu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang makin gemar melepaskan jurulatih berkualiti, bagaimana pula nasib jurulatih Tey Seu Bock selepas ini?
Tidak dinafikan Chong Wei tetap berjaya mengekalkan tahap permainan tertinggi dengan membawa pulang pingat perak Olimpik buat kali kedua, namun adakah pencapaian Chong Wei itu lebih meningkat di bawah ‘pemantauan’ Seu Bock, selepas Misbun meletakkan pemain itu pada satu tahap digeruni di peringkat dunia atau sampai giliran jurulatih lain mengemudi Chong Wei selepas ini.
Seu Bock yang dikemukakan soalan itu bagaimanapun tidak mampu memberi kenyataan lebih kukuh mengenai kedudukannya selepas ini.
“Entahlah, saya tidak tahu dan tidak pasti lagi sama ada akan terus melatih Chong Wei atau tidak,” kata Seu Bock.
“Terpulang kepada Chong Wei dan BAM menentukan, saya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai isu ini.” Sejak Misbun meletak jawatan pada 31 Disember 2010, BAM memutuskan pembantu Misbun iaitu Seu Bock terus bersama Chong Wei kerana dia sudah masak dengan regim latihan disediakan Misbun kepada pemain yang kini berada di ranking kedua dunia.
BAM ketika itu memberi alasan Chong Wei tidak perlukan jurulatih yang hebat kerana pemain itu sudah boleh berdikari, cuma memerlukan bantuan pemantauan saja.
Memandangkan matlamat BAM memberi tumpuan penuh kepada persiapan Chong Wei untuk Olimpik London, sehingga Seu Bock sekadar memainkan peranan menguruskan latihan pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Kini perlukah jurulatih terbabit terus melatih Chong Wei atau adakah lebih baik beliau kembali membantu Rashid Sidek menaikkan semula prestasi tiga pemain elit iaitu Liew Daren, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng yang masih jauh ketinggalan berbanding pencabar negara lain terutamanya dari China dan Jepun, biarpun usia mereka kini mencecah 25 tahun
Thursday, 16 August 2012
PERGINYA LAGENDA BADMINTON NEGARA
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Punch Gunalan meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya dekat sini pagi semalam akibat barah.
Gunalan, 68, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 6.20 pagi di pusat perubatan yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Subang Jaya itu selepas terlantar sakit tenat sejak dua minggu lalu.
Mendiang meninggalkan balu, P. Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, yang kini merupakan seorang doktor ortopedik.
Gunalan merupakan antara pemain badminton yang paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu yang pernah dilahirkan di negara ini apabila menyumbang beberapa butir pingat untuk negara pada beberapa kejohanan badminton antarabangsa.
Penglibatan cemerlang Gunalan dalam sukan badminton bermula pada awal 1960-an dengan menjadi juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan bagi acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran (1961-1963).
Sumbangan terbesar beliau ialah pernah muncul juara pada kejohanan badminton berprestij All England dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya, Ng Boon Bee pada tahun 1971.
Wednesday, 15 August 2012
LCW AKN TUBUHKAN AKADEMI BADMINTON
“Terima kasih Pulau Pinang.” Itu ucapan pemenang Datuk Lee Chong Wei, ketika menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri atas kemenangannya pingat perak Sukan Olimpik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.
Anak kelahiran Bukit Mertajam itu hadir bersama ahli keluarganya bertemu dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan juga barisan exco kerajaan negeri yang menyerahkan sumbangan wang tunai RM100,000 dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Chong Wei berkata, wang itu akan digunakan untuk menubuhkan Akademi Badminton Lee Chong Wei tidak lama lagi dan tujuan amal membantu golongan memerlukan.
“Terima kasih sekali lagi dengan sumbangan ini terutama kepada rakyat Pulau Pinang. “Saya akan gunakan untuk kebaikan semua,” katanya berhasrat melahirkan ramai jaguh badminton melalui akademi itu.
Sementara itu, Guan Eng berkata, sumbangan itu sebagai menghargai pencapaian Chong Wei dalam dua temasya Olimpik lalu.
Menurutnya, walaupun tidak menang pingat emas, rakyat Malaysia pastinya berbangga dengan semangat juang Chong Wei sehingga tamat perlawanan.
“Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam dua Sukan Olimpik berturut-turut dan rakyat Malaysia melihat dia sebagai pemenang pingat emas walaupun tewas tipis kepada pemain China, Lin Dan,” katanya.
AHMAD SHABERY CHEEK MOHON MAAF
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Mengaku bertanggungjawab atas kegagalan 'menuai' pingat emas, Ahmad Shabery begitupun menyifatkan kegagalan atlet dalam temasya Olimpik kali ini lebih kepada faktor nasib.
Ahmad Shabery berkata, walau- pun gagal meraih emas pertama, kejayaan kontinjen Malaysia mengulangi pencapaian pada Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan meraih satu perak dan satu gangsa tetap membanggakan.
"Saya minta maaf. Saya tahu semua orang mengharapkan atlet kita membawa pulang pingat emas tetapi nasib tidak menyebelahi kita.
"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan kegagalan kontinjen Olimpik negara memenuhi sasaran," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan skuad akuatik negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Jelas Ahmad Shabery, biarpun berjaya meraih dua pingat, masing-masing menerusi acara badminton dan terjun, kegagalan membawa pulang pingat emas memberi petanda banyak lagi usaha perlu dilakukan semua pihak.
Enggan mengulas lanjut sama ada program Road To London yang mendapat peruntukan RM20 juta sebagai gagal atau sebaliknya, Ahmad Shabery juga tetap berbangga dengan pencapaian semua atlet yang bertanding kali ini.
"Kita berjaya mara dalam lapan final, dengan lima daripadanya menerusi acara terjun, basikal, badminton dan juga renang 10 kilometer maraton.
"Bagi saya, itu amat memberangsangkan dan membuktikan kita kini mempunyai acara lain yang boleh disandarkan mendapat pingat," ujarnya.
Ahmad Shabery berkata, Olimpik kali ini dianggap lebih kompe- titif berbanding Olimpik Beijing empat tahun lalu dan ia dapat dilihat berdasarkan dominasi pungutan pingat negara-negara lain kali ini.
Justeru katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dalam kadar segera bagi mengatur persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil.
"Kita sudah mengenal pasti beberapa prospek termasuk atlet yang sedia ada. Jadi, kita akan ber- bincang dengan persatuan sukan tersebut untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berjanji akan menyegerakan proses penaiktarafan infrastruktur latihan yang sebelum ini mengundang kritikan banyak pihak.
"Ia akan dilakukan mengikut keperluan. Pandelela sendiri sudah menyuarakan mengenai keadaan infrastruktur di Pusat Akuatik Bukit Jalil. Jadi, kita akan berbuat se- suatu mengenainya," ujar Ahmad Shabery.
Tuesday, 14 August 2012
mampu lagikah LCW???
KEGAGALAN membawa pulang pingat emas pertama Olimpik oleh atlet harapan, Datuk Lee Chong Wei mungkin menjadi satu titik tolak yang membawa kepada persaraan ataupun menyemarakkan lagi keinginan bekas pemain nombor satu dunia itu untuk beraksi di Rio 2016.
Dengan persaraan sudah dinafikan pemain nombor dua dunia itu, kini timbul persoalan apakah dia mampu merealisasikan hasrat tertangguh, di Brazil empat tahun lagi.
Semua persoalan itu bagaimanapun enggan dibiar bermain dalam kotak minda Chong Wei, lalu jurulatihnya Tey Seu Bock berkata, fokus bagi pemainnya kini hanya untuk tempoh dua tahun saja.
Chong Wei hanya berehat seminggu selepas Olimpik, akan turun menjalani latihan seperti biasa biarpun buku lali pemain itu belum pulih seratus peratus.
“Kakinya tidak boleh rehat sepenuhnya, dia perlu berlatih dan bermain badminton dan kakinya akan sembuh mengikut rutin badminton,” kata Seu Bock.
“Buat masa ini, kami tidak mahu fikir terlalu jauh, perancangan yang diatur kini dalam tempoh dua tahun ke depan. Chong Wei dirangka berada dalam skuad negara di Sukan Komanwel dan Asia.” Pada temasya Olimpik yang baru berakhir, Chong Wei tenang beraksi hingga ke final tanpa menunjukkan tanda-tanda kesakitan dan aksinya langsung tidak tempang ketika berdepan Lin Dan.
Namun untuk merancang terlalu jauh hingga empat tahun akan datang, Seu Bock bimbang pemain itu diulit lebih banyak kecederaan.
“Biar kami pantau perkembangan fizikalnya dari masa ke masa. Kami tidak boleh meletakkan dirinya dalam rancangan jangka panjang kerana usianya juga sudah meningkat. Dia berdepan pelbagai risiko kecederaan dan kemampuan fizikalnya juga akan memberi reaksi berbeza,” kata Seu Bock.
JANGAN PERTIKAI HABUAN DATO' LCW
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim (gambar) meminta semua pihak supaya tidak mempertikai pemberian ganjaran sebanyak RM500,000 kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Beliau berkata, ganjaran yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Chong Wei kelmarin, adalah wajar kerana pemain No. 2 dunia itu telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London.
"Pada saya, sumbangan itu adalah sejajar dengan pengorbanan Chong Wei yang berhempas pulas mencatat rekod sebagai atlet pertama negara untuk memenangi pingat emas pada temasya itu," kata Razali di Muar semalam.
Mengenai masa depan Chong Wei, Razali berkata, semua pihak harus memberi peluang jika pemain utama negara itu masih cergas untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
"Jika mutu permainannya menurun dalam setahun dua ini, dan pemain muda pula menunjukkan kebolehan luar biasa dalam tempoh itu, kemungkinan sandaran negara dialihkan kepada pemain muda," katanya.
Ditanya persiapan atlet Malaysia menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014, Razali berkata, kementerian dan persatuan-persatuan sukan di negara ini tidak pernah berehat daripada meneruskan persediaan menghadapi temasya sukan seumpama itu.
Monday, 13 August 2012
LCW TERIMA HABUAN 500K
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima ganjaran RM500,000 di atas kejayaannya meraih pingat perak dalam acara perseorangan badminton sukan Olimpik London 2012.
Ganjaran itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam majlis di Seri Perdana yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Ganjaran RM300,000 sumbangan Skim Hadiah Kemenangan Sukan, Majlis Sukan Negara dan RM200,000 dari kerajaan Malaysia dalam bentuk Amanah Saham Wawasan.
Selain itu, Chong Wei turut menerima hadiah seutas jam tangan yang disampaikan Rosmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah di atas kejayaan jaguh badminton negara itu meraih pingat perak dan yakin ia akan menguatkan lagi azam Chong Wei untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang di Olimpik 2016.
“Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi dia (Chong Wei) untuk meraih emas tapi dia sudah berhempas pulas dan berjuang habis-habisan. “Itu sudah menunjukkan betapa besar jiwanya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan tidak putus asa untuk mencipta kejayaan yang lebih membanggakan,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan mewujudkan Akademi Badminton Negara di Pusat Latihan Badminton Stadium Juara Bukit Kiara.
Sementara itu, Chong Wei, 30, berkata dia akan mempertimbangkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat dia kembali merebut pingat emas pertama pada temasya Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri atas ganjaran hari ini, saya akan simpan duit itu. Walaupun tidak dapat membawa balik pingat emas, kerajaan masih memberi sokongan kepada saya. Bagaimanapun saya telah buat yang terbaik,” katanya.
Chong Wei berharap dengan sokongan itu, ia akan menyuntik semangat untuk dirinya meneruskan aksi di sukan Olimpik akan datang, sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun saya perlu lihat prestasi saya dua tahun lagi iaitu selepas Sukan Asia Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014. Jika masih ‘fit’(cukup cergas) saya akan teruskan pada Olimpik 2016,” katanya.
BAM MASIH BERTEKA-TEKI
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih berteka-teki berhubung perancangan bagi mempersiapkan barisan pemain negara menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Setiuasaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Jawantankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) dan mendapat persetujuan daripada ahli majlis badan induk itu.
“Buat masa ini, kami (BAM) masih belum melakukan sebarang perbincangan lagi mengenai hal tersebut.
“Mungkin selepas mesyuarat CTC yang dijangka akan diadakan pada penghujung bulan ini barulah kita boleh mengumumkan mengenai program bagi Sukan Olimpik 2016,” kata Chin Chai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, timbul spekulasi yang mengatakan BAM kini sedang mengintai kelibat dua jurulatih berprofil tinggi, Park Joo-bong (Korea Selatan) dan Li Mao (China) bagi mengetuai barisan jurulatih skuad badminton negara.
Ia sebagai salah satu perancangan badan induk itu yang dijangka mengubah struktur program latihan barisan pemain negara untuk lebih bersedia menghadapi temasya berprestij dunia itu.
Sebagai rekod, Joo-bong yang kini merupakan ketua jurulatih Jepun dan Li Mao (jurulatih Indonesia) pernah membimbing skuad negara.
Ditanya mengenai hal tersebut, Chin Chai berkata: “Tidak ada sebarang perbincangan diadakan dengan kedua-dua jurulatih itu.
“Dalam hal ini, BAM mengambil sikap terbuka kerana jika kami mahu melantik jurulatih baharu, kami bersedia mempertimbangkan mana-mana jurulatih yang dilihat layak untuk melatih skuad negara.
“Namun, tidak mustahil Joo-bong dan Li Mao turut berada dalam senarai jurulatih yang akan dipertimbangkan. Ini kerana, individu itu mestilah terdiri daripada calon yang benar-benar layak.
“Saya akui untuk merangka program Sukan Olimpik 2016, kami juga perlu bersedia untuk mempertimbangkan kemasukan jurulatih baharu,” jelas Chin Chai.
BAM dikritik hebat selepas kegagalan skuad badminton negara memenangi satu pingat emas seperti yang diletakkan sebagai sasaran pada Sukan Olimpik 2012 di London yang telah melabuhkan tirainya awal pagi tadi.
Sebaliknya, hanya pingat perak yang berjaya diraih menerusi jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakarnya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
Friday, 10 August 2012
IMPIAN LCW MEMBURU EMAS DI OLIMPIK RIO DE JANEIRO, BRAZIL 2016
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya Datuk Lee Chong Wei masih mampu untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Beliau berkata, sekiranya Chong Wei, 30, berjaya mengekalkan tahap kecergasan serta prestasinya, bukan sesuatu yang mustahil buat pemain badminton No. 2 dunia itu bergelar juara dunia dalam tempoh empat tahun akan datang.
"Jika kita lihat pada usia, Peter Hoeg Gade, 36, (pemain Denmark) dan Taufik Hidayat, 31, (pemain Indonesia) masih lagi beraksi pada Sukan Olimpik 2012 biarpun usia mereka sudah meningkat.
"Begitu juga dengan Chong Wei. Jika dia berasa masih boleh beraksi, tidak ada apa yang mustahil.
"Bagi saya, tempoh empat tahun masih dalam jangkauan bagi atlet yang mahu mencapai kejayaan lebih tinggi di pentas antarabangsa," kata Ahmad Shabery yang ditemui ketika majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin.
Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan pencabar-pencabar Chong Wei ketika ini, hanya Lin Dan, 29, dari China yang mampu menggugat kedudukan jaguh negara itu.
"Jika dibandingkan dengan Lin Dan, jurangnya tidak terlalu besar dengan Chong Wei.
"Namun, jika dengan Chen Long, 23, (pemain China) yang berada di bawah Chong Wei, ia terlalu jauh. Sebab itu, jika Chong Wei berjaya mengekalkan tahap kecergasannya, tidak mustahil dia boleh melakar kejayaan," jelasnya.
Terdahulu, Chong Wei memberi bayangan awal bahawa dia akan terus mengerah kudratnya untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016.
Katanya, jika keadaan fizikalnya berada pada tahap terbaik, selain bebas daripada masalah kecederaan, dia mungkin akan terus membawa cabaran negara pada temasya terbesar di dunia itu.
Kenyataan Ahmad Shabery itu hadir selepas Chong Wei gagal dalam misinya merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.
Ia ekoran kekalahan yang dialaminya di tangan seteru utamanya, Lin Dan pada aksi final acara perseorangan badminton lelaki di Arena Wembley, Ahad lalu.
Kekalahan itu menyebabkan dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas turut memenanginya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
"Buat masa sekarang, bagilah Chong Wei rehat dahulu.
"Dia sudah penat berjuang untuk negara dan mungkin masih berada dalam keadaan kecewa kerana gagal memenangi pingat emas. Biarlah dia yang menentukan keputusannya," tambah Ahmad Shabery.
Thursday, 9 August 2012
BAM MULLS RESHUFFLING KIEN KEAT-BOON HEONG
To revive the flailing fortunes of men's doubles pair Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, the BA of Malaysia (BAM) is set to split their partnership.
BAM president Datuk Seri Nadzmi Salleh admitted that partnering Kien Keat and Boon Heong with different players may be the best remedy for the pair, especially after their disappointing loss in the Olympic bronze medal playoff in Olympics last Sunday.
"Everybody has their own level (of maximum achievement). The question is whether they have reached that level or not," said Nadzmi, when met at the Kuala Lumpur International Airport yesterday.
"We could see in their last game (at the Olympics), they were running and covering the same areas as each other which is something that should not happen for a partnership at their stage. Even the coaches were disappointed with this.
"If we can rejuvenate them by pairing them with other partners, then why not?
"We can try in the next few months (with other partners) and see whether they can really excel or not."
Nadzmi, however, said the decision to split the pair, who lost to South Korea's Chung Jae Sung-Lee Yong Dae in the bronze medal decider, will be made with careful consideration and will largely be decided by the BAM coaching and training committee.
"This must be discussed by the training and coaching committee together with the coaches as to be at the level they are today is not easy and we cannot afford to waste them.
"I do not want to make decisions hastily and it will be discussed with proper analysis.
"We will have to reach a consensus among ourselves including with the players as well."
TAN SRI ELYAS YAKIN LCW MASIH MAMPU BERMAIN
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih boleh menjadi sandaran utama bagi misi membawa pulang pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.
Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar berkata, Chong Wei yang kini mencecah usia 30 tahun masih dianggap muda dan tiada masalah baginya untuk mewakili negara empat tahun lagi. “Tidak salah bermain badminton pada usia 34 tahun, jika Chong Wei terus mampu menjaga kesihatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sepanjang tempoh tiga atau empat tahun lagi.
“Malah saya fikir pada usia itu Chong Wei akan lebih matang, lebih berpengalaman, lagipun dia sendiri sedia untuk terus menggalas cabaran itu,” katanya.
Elyas berkata, daripada pemerhatian, tahap persembahan Chong Wei pada Sukan Olimpik London baru-baru ini, lebih mantap berbanding edisi di Beijing pada 2008 berikutan kesukaran Lin Dan untuk menewaskan jaguh badminton negara itu.
Pada perlawanan akhir itu, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.
“Chong Wei hanya tewas tipis kepada Lin Dan dan kesungguhan yang ditunjukkannya perlu diberi pujian dan tidak wajar jika ada pihak menyalahkannya,” katanya sambil menambah Chong Wei sewajarnya menerima sokongan seluruh rakyat Malaysia.
Tuesday, 7 August 2012
"JANGAN PISAHKAN KAMI"...
KOO Kien Keat percaya gandingannya bersama Tan Boon Heong akan tetap dikekalkan biarpun wujud ura-ura mereka akan dipisahkan selepas temasya Olimpik London ini.
Bagi pemain beregu itu, mereka berdua tidak mempunyai masalah besar untuk mendorong kepada keputusan memisahkan gandingan itu dan dipadankan dengan pemain lain.
“Saya tidak nampak mengapa kami harus dipisahkan kerana kami tidak mempunyai masalah besar. Jika ada perkara yang menjejaskan gandingan kami, ia lebih kepada kegagalan kami berkomunikasi di gelanggang yang pada saya itu masalah remeh dan mudah diselesaikan,” katanya.
Menurutnya, dia tidak nampak pemain lain selain daripada Boon Heong yang boleh bergandingan dengannya kerana mereka sudah serasi bersama sejak mencipta kejayaan ketika di bawah bimbingan Rexy Maniaky.
Kien Keat dan Boon Heong gagal meraih pingat gangsa selepas mereka kecundang kepada pasangan Korea, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae, kelmarin.
Bagaimanapun, pencapaian tempat keempat itu dianggap membanggakan kerana mereka mara setakat suku akhir di Beijing 2008. Dalam pada itu, Kien Keat juga menepis dakwaan yang dia akan bersara selepas temasya di London 2012 ini.
“Tidak pernah terlintas di fikiran yang saya akan bersara. “Saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh tersebar kerana saya tidak pernah berkata akan mengundur diri. Saya masih boleh bermain untuk beberapa tahun lagi,” katanya. Malah, Boon Heong turut gembira untuk meneruskan gandingannya bersama Kien Keat. “Saya rasa kami masih boleh menggugat bersama,” katanya ringkas.
Sementara itu, jurulatih beregu, Tan Kim Her berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbicara mengenai memisahkan gandingan utama negara itu.
“Saya mempunyai perancangan empat tahun sebelum Olimpik akan datang dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat apabila tiba masanya. Buat masa ini mereka kekal sebagai gandingan,” katanya.
"BAM KENA BRTGJAWAB"..RAZIF
“BAM (Persatuan Badminton Malaysia) gagal.” Itu rumusan yang diberikan oleh bekas pakar beregu negara, Razif Sidek selepas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei gagal meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012.
Chong Wei terpaksa akur dengan kehebatan bintang sensasi China, Lin Dan apabila dia tewas 21-15, 10-21, 19-21 pada aksi final acara perseorangan lelaki di Arena Wembley, London kelmarin.
Razif berkata, BAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut kerana sasaran utama badan induk itu pada temasya kali ini adalah membawa pulang pingat emas dari bumi London.
“Jika empat tahun lalu di Beijing, China (Sukan Olimpik 2008), mungkin kita boleh maafkan apabila gagal meraih pingat emas kerana ketika itu, kejayaan Chong Wei memenangi pingat perak sudah dianggap pencapaian terbaik.
“Namun, selepas empat tahun, BAM sepatutnya tidak boleh memberikan apa-apa lagi alasan. BAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana gagal meraih pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini.
“Kita sudah banyak bazirkan masa dan wang bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini. Namun, itu semua tidak menjadi kenyataan sebaliknya kita terus kecundang,” kata Razif ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut beliau, BAM perlu melakukan perubahan drastik terutama terhadapa barisan kejurulatihan dan pengurusan jika mahu melihat sukan badminton negara terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Jelas Razif, BAM perlu mencari barisan jurulatih berprofil tinggi bagi menggantikan jurulatih-jurulatih sedia ada.
“Siapa selepas Chong Wei? Soalan itu BAM perlu jawab kerana Chong Wei dikatakan akan bersara selepas Sukan Olimpik 2012.
“Jika kita lihat barisan pemain pelapis yang ada ketika ini, kesemua mereka sebenarnya telah terlalu jauh ketinggalan. Sebab itu, BAM perlu ada jurulatih yang benar-benar mampu untuk membentuk bertaraf dunia.
“Bagi saya, jurulatih-jurulatih yang ada ketika ini, faham-faham sendiri sahajalah. Dalam tempoh empat tahun (selepas Sukan Olimpik 2008) tidak ada kejayaan yang membanggakan dicapai.
“Jadi, jurulatih itu semua gagal termasuk pihak pengurusan BAM sendiri. Saya berasa, tempoh tersebut sudah cukup lama, jadi bagilah peluang kepada orang baharu untuk melaksanakannya,” jelas Razif.
Sebagai rekod, Razif merupakan pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki bersama adiknya, Jalani Sidek pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.
Kekalahan kepada Lin Dan kelmarin menyaksikan Chong Wei sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas dia turut ditumbangkan pemain No. 1 dunia itu pada aksi final Olimpik 2008 di Beijing
"BAM PERLU TUKAR SISTEM & PROGRAM PEMBANGUNAN HARUS DIPERHEBAT"..LCW
"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) perlu tukar sistem dan program pembangu- nan harus diperhebatkan."
Cukup pedas mesej yang disampaikan oleh jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei kepada BAM sejurus se- lepas meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 di Arena Wembley, London kelmarin.
Menurut Chong Wei, selepas ini, BAM perlu fokus terhadap pemain junior dan berikan lebih banyak pendedahan kepada mereka di pentas antarabangsa.
Sebab itu katanya, program pembangunan sangat penting dan perlu diperhebatkan lagi jika mahu melihat pemain negara terus mengukir kejayaan pada kejohanan peringkat antarabangsa khususnya Sukan Olimpik.
"Saya sudah veteran dan mungkin boleh bermain dalam masa dua atau tiga tahun lagi. Sepatutnya sekarang kita sudah ada pelapis yang berdaya saing seperti China yang mempunyai ramai pemain hebat serta boleh menggegar dunia pada bila-bila masa sahaja.
"Mereka sekarang ada Lin Dan tetapi pelapis kepada Lin Dan sudah ada seperti Chen Long yang bakal menguasai sukan badminton selepas ini sebaik Lin Dan atau saya bersara," kata Chong Wei.
Menurutnya, pemain junior seperti Liew Darren, Arif Latif mahupun Zulfadli Zulkifli harus kerap diberi pendedahan kerana dengan cara tersebut, ia membantu meningkatkan keyakinan serta prestasi mereka.
"Jika kita tidak memulakan daripada sekarang, masa depan sukan badminton negara bakal melalui zaman malap," katanya.
Mengulas persembahannya sepanjang temasya di London, Chong Wei menjelaskan bahawa dia sudah memiliki keyakinan semula dengan prestasinya.
"Bukan senang nak dapat balik form. Selepas dua bulan setengah tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif, saya tetap berjaya memberi saingan.
"Kejayaan mara ke final sudah menjadi satu kejayaan buat saya tetapi malangnya, saya gagal menghadiahkan pingat emas buat rakyat Malaysia," katanya.
Sebelum bermulanya temasya di London, ramai yang meragui prestasi Chong Wei kerana kecederaan yang dialaminya ketika menggalas cabaran negara pada Piala Thomas di Wuhan China, Mei lalu akan menjejaskan prestasinya.
Untuk memburukkan lagi keadaan, program latihannya juga tidak konsisten kerana terpaksa melalui rawatan pemulihan dengan harapan kecederaannya pulih sepenuhnya sebelum Olimpik London bermula.
Atas kerja kuat serta kecekalannya menghadapi segala dugaan yang ditempuhinya, Chong Wei kembali pulih seperti biasa, namun masih ramai yang kurang yakin bahawa dia mampu menampilkan prestasi cemerlang di London.
Sebaik memulakan kempennya pada saingan peringkat kumpulan, Chong Wei tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa kece- deraan yang dialaminya itu akan menjejas- kan rentak permainannya.
Selepas itu, kelibat Chong Wei terus sukar disekat sehingga berjaya melangkah ke final dan tewas kepada juara bertahan, Lin Dan.
"Saya pun tidak percaya boleh beraksi de- ngan baik. Bayangkan sudah hampir tiga bulan tidak menyertai mana-mana kejoha- nan dan memang sukar untuk mengembali- kan form seperti biasa.
"Apa pun, yang penting kita perlu bekerja kuat dan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kejayaan. Saya berharap agar pemain-pemain muda kita mempunyai semangat yang sama untuk bekerja lebih keras lagi bagi meningkatkan prestasi.
"Saya mungkin tidak dapat beraksi pada Sukan Olimpik akan datang dan sebab itu penting untuk memberikan lebih banyak pendedahan kepada pemain junior kita.
"Bukan hanya untuk acara perseorangan lelaki tetpai juga merangkumi beregu lelaki dan wanita," kata pemain berusia 30 tahun itu.
Kejayaan meraih pingat perak pada tema- sya di London ini merupakan perak Olimpik kedua buat Chong Wei selepas dia mengukir kejayaan yang sama di Beijing empat tahun lalu.
Selepas ini, fokusnya adalah untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel dan Asia serta Kejohanan Dunia tahun depan.
"Mungkin saya boleh beraksi lagi pada Sukan Asia dan Komanwel tetapi untuk Sukan Olimpik banyak bergantung sama ada saya layak atau tidak.
"Mungkin form saya dalam masa empat tahun lagi tidak sama seperti sekarang," katanya.