Monday 26 November 2012

Tembok Besar China Gagal Dirobohkan..


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih tidak mampu menewaskan Cai Yun-Fu Haifeng manakala pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei pula belum cukup cergas untuk merangkul gelaran pertama selepas berkahwin awal bulan ini.

Final Siri Super Terbuka Hong Kong semalam, menyaksikan China merangkul semua kejuaraan ketika dua wakil negara dalam acara perseorangan dan beregu lelaki itu menjadi negara asing beraksi di pentas terakhir kejohanan itu.

Chong Wei bagaikan tiada jawapan untuk menandingi pemain ranking kedua, Chen Long dari China, yang dijinakkan di separuh akhir Sukan Olimpik London, Ogos lalu apabila tewas straight set.

Pemain negara itu tewas 19-21 set pertama dan gagal menghadirkan aksi seorang juara pada set kedua apabila tunduk 17-21.

“Saya lihat Chen Long banyak meningkat dan jika Chong Wei mahu mengatasinya, dia perlu melakukan persiapan yang lebih bagus dari segi kecergasan,” kata ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek yang mengakui anak buahnya itu tidak cukup persiapan menjelang kejohanan itu.

“Chong Wei terlalu sibuk dengan persiapan perkahwinan, tidak cukup latihan kecergasan dan akhirnya gagal memberi tekanan kepada Chen Long dalam perlawanan akhir ini.” 

Dalam pada itu, Kien Keat-Boon Heong sering mendahului Cai Yun-Fu Haifeng dalam set pertama tapi tidak terdaya untuk mendapatkan kemenangan selepas diikat 16-16.

Mereka kemudian kehilangan idea untuk menghasilkan sesuatu apabila ketinggalan 16-21, 17-21.

“Dalam set pertama, ketika mereka mendahului, pasangan China menggunakan strategi bertahan bagi memenatkan Boon Heong dan mereka berjaya melakukannya,” kata ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her.

“Dalam set kedua pula, Kien Keat-Boon Heong mula merasai tekanan. Percaturan Kien Keat-Boon Heong pula lebih menjurus kepada lebih banyak bertahan ketika strategi lawan untuk mendahului menjadi, tapi apabila mereka cuba mengejar, segala-galanya agak terlambat kerana Cai Yun-Fu Haifeng sudah jauh di depan.

Apapun saya berpendapat gandingan ini sudah memberikan persembahan terbaik.”

No comments:

Post a Comment