Monday 3 December 2012
Fairuz-Zakry Di Undang Ke YONEX Copenhagen Masters 2012
FAIRUZIZUAN Tazari-Mohd Zakry Latif dijemput buat kali ketiga menyertai Masters Copenhagen di Denmark hujung bulan ini.
Gandingan profesional negara yang merangkul kejuaraan di Terbuka Taiwan Oktober lalu itu, berazam untuk merangkul kejuaraan kali ini biarpun sedar cabaran daripada gandingan tuan rumah amat sukar.
“Kami sasarkan untuk muncul juara sebab sudah dua kali bergelar naib juara,” kata Zakry yang pernah bersaing pada 2009 dan 2011.
“Kejohanan ini tidak menawarkan mata ranking, tapi kami tetap berazam untuk memberikan yang terbaik sebagai penghargaan kepada penganjur. Lagipun saya lebih bersemangat selepas menang gelaran pertama di Taiwan serta mengharapkan rezeki pengantin baru.”
Fairuzizuan-Zakry akan berlepas ke Denmark pada 24 Disember, tiba di sana sehari selepas itu dan memulakan saingan pada 28 Disember, menentang gandingan tuan rumah Mads Conrad Petersen-Rasmus Bonde.
Jika menang, mereka akan melayakkan diri terus ke final berdepan sama ada pilihan utama, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark atau Ricky Karanda Suwardi-Muhammad Ulinnuha (Indonesia).
“Kami amat gembira dapat beraksi sekali lagi kerana langsung tidak menyangka akan dijemput lagi,” kata Fairuzizuan.
Turut menarik di kejohanan jemputan itu adalah kehadiran pemain sensasi China, Lin Dan, Peter Gade, Jan O Jorgensen, Viktor Axelsen dan Hu Yun dari Hong Kong serta Boonsak Ponsana dari Thailand.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment