Thursday 13 December 2012

Kekalah Berangkai Skuad Negara Di Kejohanan Siri Super Final Dunia 2012


HARAPAN negara, Datuk Lee Chong Wei semalam menarik diri daripada kejohanan Siri Super Final Dunia selepas mengalami kecederaan paha ketika tewas perlawanan pertama Kumpulan A di Shenzhen, China.

Juara tiga kali (2008, 2009, 2010) itu tewas kepada pemain nombor empat China, Du Pengyu, 24, satu tragedi yang tidak pernah dijangka berlaku seawal ini.

Pemain yang mengungguli lima daripada 12 kejohanan Siri Super itu mendakwa tidak mampu bergerak pada set kedua berikutan kecederaan paha yang dialami sebelum bertolak ke Shenzhen.

“Saya alami kecederaan paha kanan sebelum tiba di sini tapi terpaksa datang juga untuk mengelak dari dikenakan denda,” kata Chong Wei selepas tewas 21-12, 16-21, 20-22 pada perlawanan pertama kumpulan A.

Malah juara Terbuka Korea, Malaysia, Jepun, Denmark dan Perancis itu turut mengadu banyak lagi penyebab kekalahan.

“Saya masih keletihan, begitu juga dengan pemain lain selepas terpaksa bermain dalam musim yang panjang. Lin Dan selepas Olimpik berkahwin dan bercuti panjang tapi saya tidak mempunyai pilihan sebegitu.” Jurulatih, Tey Seu Bock mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan paha kanan dan terpaksa menarik diri dari kejohanan.

“Sebenarnya kecederaan itu dialami di Kuala Lumpur namun bertambah parah hingga Chong Wei tidak mampu untuk melompat,” kata Seu Bock menerangkan situasi Chong Wei dalam set kedua.

Chong Wei bertemu doktor kejohanan petang semalam dan menyerahkan surat pengesahan kecederaan itu kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Doktor sudah membuat pemeriksaan dan mengeluarkan surat pengesahan yang Chong Wei benar-benar mengalami kecederaan. Kami serahkan surat itu malam ini (tadi) dan penganjur mengesahkan Chong Wei menarik diri,” kata Seu Bock.

Penarikan diri Chong Wei menyebabkan dia terlepas peluang memenangi hadiah wang tunai AS$40,000 (RM122,080).

Berdasarkan jadual pertandingan hari ini, nama Chong Wei juga tidak lagi tersenarai sekali gus mengesahkan penarikan dirinya.

Ketiadaan Chong Wei bakal menyaksikan nama baru perseorangan lelaki akan tercatat sebagai pemenang selepas sepanjang empat tahun kejohanan ini dianjurkan hanya Chong Wei dan Lin Dan muncul juara.

Selepas kekalahan Chong Wei, gandingan kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong meneruskan hari malap skuad negara apabila tumpas kepada gandingan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 13-21, 17-21 dalam masa hanya 36 minit.

Selepas itu giliran beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan tunduk mengalah.

Kali ini tumpas kepada gandingan bukan pilihan dari Indonesia, Muhammad Rijal-Debby Susanto 18-21, 19-21.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menempah kekalahan biarpun memegang status pilihan utama.

Mereka kalah kepada gandingan wild card dari China, Cai Yun-Fu Haifeng 11-21, 21-10, 10-21, namun peluang untuk ke separuh akhir masih ada dan mereka mesti menang ke atas Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark selepas memperoleh kemenangan percuma ke atas Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dari Korea yang menarik diri.

Liew Daren menjadi pemain terakhir turun beraksi, melengkapkan kekalahan mutlak semua lima wakil negara apabila tunduk 15-21, 18-21 kepada pemain Jepun, Kenichi Tago.

Tugas berat menantinya hari ini apabila dijadual menentang pilihan kedua, Chen Long dari China.

No comments:

Post a Comment