Monday 21 January 2013
Beri Tumpuan Adakan Lebih Banyak Pertandingan-Tan Sri Elyas
Perkembangan badminton menerusi penubuhan kelab sewajarnya dilihat dari segi positif dan jika kena caranya, ia mampu membekalkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa akan datang.
Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar tidak melihat penubuhan pelbagai kelab badminton di seluruh negara sebagai satu isu besar malah mahu badan induk badminton negara itu turut menyokong perjuangan mereka.
“Sudah tiba masanya BAM memberi tumpuan terhadap usaha menguruskan lebih banyak pertandingan, melahirkan lebih ramai jurulatih serta membantu kelab seperti ini,” katanya.
Apa yang dimaksudkan beliau adalah menjadikan kelab badminton sebagai medan melahirkan ramai atlet berpotensi untuk masa depan, tanpa terlalu bergantung kepada pemain sedia ada dinaung BAM.
Malah menurut beliau, tidak salah jika pemain mahu meneruskan karier di kelab, mengambil contoh Misbun Ramdan Misbun yang mahu dilatih bapanya, Datuk Misbun Sidek, jika itu langkah terbaik untuk memajukan karier mereka.
“Mereka perlu beri galakan kepada kelab di peringkat negeri dan andai BAM perlukan atlet untuk wakili negara, pemilihan boleh dilakukan dan kemudian melaksanakan latihan pusat,” katanya.
Apa yang membuat beliau kagum adalah kesungguhan pemilik kelab, ada di antaranya bekas atlet untuk membimbing bakat baru yang mungkin selama ini tidak mendapat perhatian badan induk itu.
“Ada kelab memiliki hingga 20 gelanggang, sedangkan BAM masih tidak mempunyai pusat latihan sendiri. Mungkin sudah tiba masanya memberi kepercayaan kepada kelab untuk melahirkan pemain masa depan tapi perlu mengikut standard ditetapkan BAM.” Pada masa sama, beliau juga mengharapkan lebih ramai jurulatih tempatan dilahirkan.
“Sepatutnya, sebaik kita menang Piala Thomas, program melahirkan lebih ramai jurulatih patut ditumpukan. Kita memang mempunyai jurulatih tempatan tapi jika dapat melahirkan 10 jurulatih setahun, bayangkan jumlahnya dalam tempoh 20 tahun.
“Saya pernah merancang untuk menubuhkan akademi yang bertujuan melahirkan jurulatih tapi ia dimansuhkan pentadbiran terdahulu.
“Semua ini bagi saya memerlukan perancangan dan tanpa perancangan, masalah tidak dapat diselesaikan,” katanya.:-sumber Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment