Tuesday, 4 September 2012
BAM PERTAHAN HPT
OLIMPIK London sudah berakhir tapi apa lagi yang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tunggu hingga masih belum membubarkan Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) yang diketuai Setiausaha Kehormat, Ng Chin Chai.
Dengan peranan tidak begitu jelas, HPT ditubuhkan Januari lalu, suatu jangka masa yang dianggap singkat untuk merancang dan melaksanakan program badminton Road to London (RTL) hingga akhirnya menyaksikan hanya satu perak diperoleh menerusi Datuk Lee Chong Wei.
Penubuhan HPT yang asalnya hanya Datuk James Selvaraj memainkan peranan sebagai Pengarah Prestasi Tinggi (HPD) melalui pelantikan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh dikatakan akan memberi impak lebih baik terhadap mencapai sasaran di Olimpik, namun terbukti hanya Chong Wei yang berjaya. Tapi pemain nombor dua dunia itu sudah mempunyai program yang agak sama sejak Olimpik Beijing, empat tahun lalu.
Pembentukan HPT yang turut dibarisi panel James serta Lt Kl (B) Wong Ah Jit dari Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini dianggap sebagai alat untuk menutup malu BAM yang membuat temu duga terbuka bagi mencari pengganti James (yang ketika itu HPD), namun calon yang hadir gagal menepati ciri-ciri dimahukan serta kurang sebulu dengan badan induk badminton negara itu.
Pada Januari lalu juga BAM menerusi HPT pernah ditanya apakah program jangka panjang untuk Olimpik seterusnya, namun Chin Chai ketika itu menjawab peranan HPT sekadar sebagai pemantau bagi memastikan RTL kekal berada di landasannya.
Justeru kedudukan HPT kini menjadi persoalan dan Chin Chai pula gagal dihubungi untuk menjawab kemelut itu.
Malah program jangka panjang 12 tahun BAM juga dinanti-nantikan semua pihak selepas menyaksikan program jangka ‘sederhana’ empat tahun mereka gagal merealisasikan pengganti Chong Wei.
Tapi timbul juga persoalan sama ada bagi program 12 tahun itu, BAM yang menetapkan peruntukan RM240 juta iaitu RM20 juta setahun benar-benar akan menggunakan peruntukan dana itu untuk program pembangunan atau sekadar membayar elaun pemain elit seperti sebelum ini.
Label:
BAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment