Wednesday 12 September 2012

CHAN KWONG BENG KANDAS AWAL


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Chan Kwong Beng gagal melayakkan diri ke pusingan pertama Kejohanan Badminton Siri Super China Masters 2012 apabila terkandas pada aksi kelayakan semalam.

Meskipun mendapat bye pada aksi kelayakan pertama, Kwong Beng gagal menandingi kehebatan pemain muda China, Yuekun Chen apabila dia tewas 14-21, 14-21 pada aksi kelayakan kedua di Changzhou.

Sementara itu, tiga pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren, Mohd. Arif Abdul Latif, Muhamad Hafiz Hashim dan Chong Wei Feng akan memulakan cabaran masing-masing pada pusingan pertama hari ini.

Daren dan Hafiz dijangka tidak berdepan halangan sukar untuk melepasi pusingan pertama selepas masing-masing dijadual menentang dua pemain muda India iaitu Sourabh Varma dan R.M.V Gurusaidutt.

Wei Feng pula berdepan tugas getir kerana dia perlu melepasi cabaran jaguh Thailand, Boonsak Ponsana.

Turut beraksi pada pusingan pertama hari ini ialah beregu lelaki negara, Chan Peng Soon Chan-Ong Jian Guo yang akan menentang pasangan berpengalaman Thailand, Songphon Anugritayawon-Sudket Prapakamol.

Dua pasangan beregu campuran negara, Jian Guo-Lim Yin Loo dan Gan Teik Chain-Ng Hui Lin juga akan beraksi pada pusingan pertama hari ini.

Jian Guo-Yin Loo akan menentang pilihan kelapan kejohanan Tarun Kona-Ashwini Ponnappa dari India manakala Teik Chai-Hui Lin dijadual menentang gandingan China, Tao Jiaming Tao-Bao Yixin.

Satu lagi pasangan beregu campuran, Peng Soon-Goh Liu Ying mendapat bye dan terus mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pada itu, tiga beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang diletakkan sebagai pilihan kelima, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari (ketujuh) dan Teik Chai-Ong Soon Hock (kelapan) mendapat bye pada pusingan pertama.

Dua beregu wanita negara, Liu Ying-Yin Loo dan Ng Hui Ern-Hui Lin tidak perlu bermandi peluh apabila terus layak ke peringkat suku akhir.

No comments:

Post a Comment