Wednesday, 24 October 2012

BAM Tak Mau Coba...



KETIKA Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan melakukan percubaan merombak gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, beberapa pasangan kelompok 10 teratas dunia dari negara lain, berani melakukannya dan menuai hasil di Terbuka Denmark minggu lalu.

Paling menonjol tentunya gandingan Korea yang muncul juara menewaskan Kien Keat-Boon Heong pada aksi final, Shin Baek Choel-Yoo Yeon Seong.

Yeon Seong sebelum ini berpasangan dengan Ko Sung Hyun dirombak bagi memberi nafas baru kepada gandingan itu selepas mereka tewas kali pertama di tangan gandingan negara daripada tujuh pertemuan, meskipun berada di ranking keempat dunia.

Baek Choel sebelum ini bersama Cho Gun Woo lebih banyak digunakan dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas dan Sudirman, dipisah untuk memastikan Korea memiliki ramai beregu mantap dalam ranking 10 teratas dunia tahun depan.

Begitupun, prestasi Kien Keat-Boon Heong agak meningkat selepas menewaskan gandingan nombor dua dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen di separuh akhir dilihat bergelut menundukkan Baek Choel-Yeon Seong di final, begitu juga dengan gandingan cubaan Sung Hyun-Lee Yong Dae pada pusingan pertama.

Yong Dae-Chung Jae Sung masih berada di ranking pertama dunia namun Korea tetap berani melakukan eksperimen di pentas antarabangsa semata-mata untuk mendapatkan gandingan terbaik yang boleh memecah monopoli China.

Selain itu, China dan Indonesia juga melakukan rombakan. Chai Biao-Guo Zhendong yang berada di ranking kelima dunia dipisahkan sebaliknya menggabungkan semula gandingan asal Chai Biao dengan Zhang Nan.

Indonesia pula memisahkan gandingan emas Olimpik mereka Markis Kido-Hendra Setiawan yang kini di ranking ketujuh dunia. Kido kini bergandingan dengan Alvent Yulianto, manakala Hendra dipasangkan dengan Mohd Ahsan untuk diserapkan tenaga muda sebagai kekuatan.

Siri Super Terbuka Perancis yang membuka tirai kelayakan semalam juga menampilkan gandingan baru ini yang dijangka mampu menghasilkan keputusan positif menjelang Kejohanan Dunia tahun depan.

Kien Keat-Boon Heong diletakkan selaku pilihan kedua di belakang Mathias-Carsten bakal berdepan tugas getir menentang bekas rakan sepasukan yang kini bersama KLRC, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari di pusingan kedua.

Jika mara, Sung Hyun-Yong Dae yang mereka tewaskan di pusingan pertama Terbuka Denmark bakal menjadi penghalang di suku akhir, sebelum bertemu Chai Biao-Zhang Nan atau Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata (Jepun) di separuh akhir.

No comments:

Post a Comment